Kebajikan pemimpin Muslim VS lakonan pemimpin Evangelis

- Advertisement -

AHLI Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit seusai berbuka puasa dan solat Maghrib di Masjid Al-Ihsan Kampung Berjaya, Batu 10 langsung  bergegas pula menunaikan solat Isyak dan tarawih di Masjid Seri Jerai, Pekan Gurun, semalam.

- Advertisement -

Dalam perjalanan itu beliau terlihat enam beranak menaiki sebuah motosikal. Beliau meminta mereka berhenti setelah katanya terdetik pertanyaan dari mana dan hendak ke mana keluarga yang sedemikian itu.

Berkongsi bisikan hatinya, seramai itu menunggang dan membonceng motosikal ditambah dalam kegelapan malam adalah sangat bahaya. Beliau dapat menghentikan keluarga itu setelah diminta.

Diberitahu si suami, mereka sekeluarga baru pulang dari meniaga siput di Bazar Ramadan. Difahamkan, berbuka puasa pun dengan hanya meminum air sahaja.

Allahuakbar! Sesungguhnya Allah sedang menguji hamba-Nya. Kesian dan sayu lihat anak-anak yang masih kecil. Sedikit sumbangan wang tunai saya hulurkan. Semoga Allah melipat gandakan rezeki buat keluarga ini,” coret Ustaz Sabri.

Kesantunan secara langsung dan spontan itu jelas dari luhur rasa prihatin dan kasihnya kepada sesama manusia. Lebih-lebih lagi beliau sebagai pemimpin masyarakat yang sering disaksikan dengan bola matanya denyut nadi kehidupan mereka.

Setakat yang tersurat terakam dengan tulisan dan foto, tetapi segala unsur tersirat tentunya datang dari tuntutan keimanan. Memenuhi perintah Allah S.W.T baik kepada saudara seagama serta kebajikan dan kebaikan buat semua.

Perhatian dan tanggungjawab yang ditumpah curahkan seperti itu adalah hakikat pembawaan PAS dan para pimpinan serta seluruh pengikutnya. Ia bukan untuk potret lensa atau dibuat-buat untuk menjadi riyak sum’ah menunjuk-nunjuk.

Ia sebenar-benar pendekatan dan budaya yang lahir dari garis akidah, syariah dan akhlak ditetapkan Allah S.W.T dan diteladankan qudwah penuh sempurna oleh Nabi Muhammad S.A.W. Inilah erti kehidupan di dunia yang punya pelbagai perbezaan dan urusannya sebelum menuju akhirat dan syurga kekal abadi.

Tentulah ia tidak wajar untuk dilihat sama atau disamakan dengan perbuatan kebajikan dan kebaikan yang dibuat oleh bukan-Islam sebagaimana dibangga tularkan mengenai seorang pemimpin muda dari sebuah parti cauvinis. Ia bukan sahaja tidak berada dalam cakupan keimanan, jauh sekali mencapai kepada Allah.

Melainkan ia kemanusiaan semata-mata, itupun jika benar dilakukan tanpa adanya muslihat dan motif lain. Malang sekali, kisah itu mula diragui kebenarannya. Ia mula dihidu sebagai satu lagi drama terancang hingga dari pujian berubah menjadi kecaman.

Wacana membuka gelanggang, menanggapi lakonan itu untuk menjulang peribadi politik, tetapi ketika sama cuba memburukkan imej seorang Muslim yang seakan terbiar daif. Juga untuk menunjukkan agama ini tidak memberi perhatian kepada penganutnya.

Termasuk lebih dari itu adanya sinikal untuk memburukkan sebuah kerajaan yang berdiri teguh lebih 30 tahun mensejahterakan negerinya dengan Islam dan rakyatnya menjadi duta bertebaran seluruh negara sebagai contoh manusia kuat berdikari.

Seharusnya dalam menilai perkara ini, umat Islam tidak tersilau oleh panahan menipu dan memperdayakan untuk mengenali antara permata dan kaca. Wahyu sudahpun menuntun kita:

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak Timur dan Barat. Tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan Hari Akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba abdi; dan mengerjakannya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. Orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang yang bertakwa.”
(al-Baqarah: 177)

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 25/4/2021

- Advertisement -