Anak Kelantan dibiar ditindas di Pulau Pinang

Di sebalik kisah pekerja Food Panda diketengah Steven Sim

kelantan
- Advertisement -

SELAIN masih tertanya-tanya mengenai identiti sebenar pekerja Food Panda yang dibantu oleh Steven Sim, hingga ke hari ini saya masih tertanya-tanya identiti sebenar majikan tidak bertanggungjawab pekerja tersebut yang dikatakan hanya membayar gaji RM500 sahaja sebulan kepadanya sehingga menyebabkan dia terpaksa bekerja sambilan dengan Food Panda.

Selaku Ahli Parlimen, Steven Sim sepatutnya tahu yang, pada pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji minimum ke RM1,100 sebulan bagi pekerja di seluruh negara berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.

Steven Sim juga sepatutnya tahu yang Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) memperuntukkan bahawa mana-mana majikan yang gagal membayar gaji minimum kepada pekerjanya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja.

- Advertisement -

Malangnya, Steven Sim langsung tidak menyebut mengenai perkara ini sedangkan jika beliau adalah seorang Ahli Parlimen yang bertanggungjawab beliau seharusnya memastikan tiada majikan di kawasan Parlimennya yang menindas pekerja seperti pekerja Food Panda yang beliau bantu itu.

Sepatutnya Steven Sim perlu menasihatkan pekerja ini melaporkan, atau melaporkan sendiri, perkara ini ke Jabatan Tenaga Kerja berdekatan atau ke Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan pekerja ini tidak ditindas di bumi Pulau Pinang.

Pada hemat saya, isu inilah yang menjadi punca sebenar kepada permasalahan yang dihadapi oleh pekerja Food Panda ini, tetapi malangnya isu ini langsung tidak disentuh oleh Steven Sim dalam tulisannya.

Sebab itulah, bagi saya, walaupun bantuan motosikal itu adalah satu perkara yang baik, Steven Sim sebenarnya telah gagal melaksanakan tugas beliau dengan baik selaku seorang Ahli Parlimen.

Siapa kata Kerajaan Kelantan abai kebajikan pekerja Food Panda yang dibantu oleh Steven Sim?

Sama seperti saya yang berusaha sehabis daya untuk mendapatkan nombor telefon anak Kelantan pekerja Food Panda dari rakan-rakan yang ada hubungan dengan pemimpin DAP Pulau Pinang dan dari rakan-rakan wartawan di Pulau Pinang untuk diusahakan pemberian bantuan dana dan pekerjaan yang lebih baik, ada wakil Kerajaan Kelantan yang telah turut sama menghubungi Steven Sim bagi tujuan menawarkan kerja di agensi kerajaan negeri.

Jawapan yang diberikan oleh rakan-rakan kepada pertanyaan saya adalah pelbagai, dari ‘Adik Mohamad tidak mahu dikenali’, ‘Adik Mohamad tidak mahu diberikan publisiti’, ‘Adik Mohamad sudah tidak lagi memerlukan bantuan’ ke ‘Pemimpin DAP enggan berikan nombor telefon Adik Mohamad’.

Samalah juga dengan jawapan yang diberikan oleh admin Facebook Steven Sim kepada wakil Kerajaan Kelantan yang bertanya tersebut, iaitu kononnya ‘Adik Mohamad pada setakat ini telah menerima bantuan (yang mencukupi)’.

Soal sama ada Adik Mohamad sudah menerima bantuan yang mencukupi atau tidak, atau sama ada beliau masih lagi memerlukan bantuan atau tidak, adalah satu perkara yang sepatutnya diputuskan sendiri oleh beliau.

Jika Steven Sim benar-benar ikhlas, beliau sepatutnya tidak berhenti dengan memberi motosikal sahaja tetapi sebaliknya mengusahakan pemberian gaji minimum atau pekerjaan yang lebih bersesuaian kepada Adik Mohamad.

Jika Steven Sim tidak berkemampuan untuk berbuat demikian, beliau tidak seharusnya menyekat pihak-pihak lain, termasuk saya dan rakan-rakan, yang mahu memberi bantuan dana dan pekerjaan yang lebih baik kepada Adik Mohamad.

Seribu misteri akan menyelubungi bila Adik Mohamad tidak dapat dijejaki serta permohonan untuk mendapatkan nombor telefon dan nombor akaun bank beliau dinafi.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 25/4/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -