Biarkan penduduk beribadat di Masjid, Surau – PAS Tawau

TAWAU: PAS Kawasan Tawau memohon Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah itu membuka semula masjid dan surau kepada orang ramai sebelum bulan Ramadan berakhir.

Advertisement

Ketua Pemuda PAS Kawasan Tawau, Ustaz Rosli Hassan berkata, permintaan itu dilakukan berikutan gesaan penduduk di daerah ini yang mahukan mereka berpeluang mengimarahkan rumah ibadah sekurang-kurangnya bagi tempoh dua minggu terakhir Ramadan.

“Seperti yang pernah dilakukan sebelum ini, pihak berkuasa boleh meletakkan syarat pengoperasian masjid dan surau mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Tawau, Ustaz Rosli Hassan

“Ini termasuk membabitkan kawalan Agensi Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi kawasan yang berkemampuan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, permintaan itu dibuat kerana pihaknya meneliti bilangan kes positif Covid-19 menunjukkan trend penurunan sejak beberapa hari lalu.

“Alhamdulillah menerusi perjumpaan dengan pegawai di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di sini kelmarin mendapat reaksi positif,” katanya.

Turut hadir dalam perjumpaan berkenaan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau, Amboasse Ramano dan badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Prihatin Rusli Basri.

Bagi Pengerusi Surau Al Istiqomah Kampung Tanjung Batu Darat, Darmansah Lamasa berkata gesaan masyarakat Tawau itu bukanlah mahu menafikan usaha kerajaan dalam membanteras Covid-19.

“Namun, sebaliknya ianya dilakukan selepas melakukan beberapa pertimbangan berdasarkan keadaan semasa di daerah ini.

“Sehingga hari ini, tidak ada kluster masjid atau surau dilaporkan dan menunjukkan kadar pematuhan SOP pada tahap terbaik,” katanya.

Pengerusi Surau Al-Istiqomah Kampung Tanjung Batu Darat, Darmansah Lamasa

Katanya, jika dilihat di negeri lain seperi di Kelantan yang turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih tetap dibenarkan menghidupan Ramadan di rumah ibadah dengan pematuhan SOP.

Sementara itu, Pegawai Tadbir JHEAINS Tawau, Kahar Sundu mengesahkan menerima kunjungan pihak berkaitan, kelmarin.

“Sebenarnya menerusi mesyuarat pada Rabu lalu, PKOB Tawau bersetuju agar kami memanjangkan cadangan kepada Pengarah JHEAINS bagi membolehkan ia dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah.

“Ini termasuk berkaitan jumlah kehadiran jemaah satu pertiga daripada keluasan atau kapasiti masjid dan surau,” katanya.

Tambah Kahar, justeru, segala keputusan kebenaran sembahyang di masjid dan surau bergantung kepada keputusan JPBN Sabah. – HARAKAHDAILY 24/4/2021