Adakah berulang pakatan Russia Turki vs Amerika Eropah?

- Advertisement -

KONFLIK Ukraine – Rusia ketika ini sudah memasuki tahap genting apabila lebih 100,000 tentera Rusia saat ini telah berada di sempadan Ukraine – Rusia terutamanya di bahagian barat Ukraine dan Crimea.
Ketumbukan tentera Rusia sudah mula berkumpul di sempadan kedua-dua negara sejak beberapa minggu lalu ketika konflik di antara kedua-dua negara mula kembali memuncak.

- Advertisement -

Hampir seluruh dunia terutamanya negara kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Britain dan negara-negara Eropah percaya bahawa tindakan tersebut akan berakhir dengan peperangan di antara kedua-dua negara di mana muktamadnya akan berlaku penaklukan Rusia ke atas Ukraine sebagaimana jangkaan banyak pihak.

Namun pada Khamis lalu, Rusia mengumumkan bahawa tenteranya akan mula berundur dari sempadan kedua-dua negara tersebut pada Jumaat ini ke pengkalan masing-masing di mana ramai penganalisa geopolitik dunia meramalkan bahawa tindakan Rusia tersebut hanyalah sebagai provokasi terhadap Ukraine dan Barat khususnya NATO yang dipimpin oleh Amerika Syarikat.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mempamerkan kekuatan dan kecekapan mobilisasi tentera Rusia kepada NATO, juga sebagai amaran kepada mana-mana negara yang cuba masuk campur dalam urusan Rusia terutamanya dalam konflik Rusia – Ukriane sebagaimana amaran yang ditegaskan oleh Vladimir Putin baru-baru ini

Dalam masa yang sama, Rusia juga telah mula menutup sebahagian laluan ke Laut Hitam dalam usaha untuk menghalang kemasukan kapal-kapal asing terutamanya kapal-kapal tentera laut dari NATO dalam usaha untuk membantu Ukraine dalam menghadapi konflik dengan Rusia.

Ketika ini, kelihatan seperti Ukraine sudah terkepung dengan sekatan-sekatan yang dilakukan oleh Rusia samada di laut, darat dan udara. Jet-jet pejuang Rusia juga dilaporkan mula terbang melintasi Ukriane dan negara-negara berdekatan sehingga dilaporkan NATO bahawa berlaku peningkatan yang begitu drastik kadar penerbangan dalam sehari oleh pesawat-pesawat pejuang Rusia.

Walaubagaimanapun, berita pengunduran tentera Rusia tentunya melegakan banyak pihak terutamanya Ukraine sendiri. Yang pasti, pengunduran tersebut bukannya tanda konflik antara Rusia – Ukraine sudah mula kendur, ia tentunya strategi Rusia untuk mengaburi banyak pihak yang mana Vladimir Putin sudah pasti akan terus melaksanakan agendanya untuk memastikan Ukraine kembali ke pangkuan Rusia sebagaimana yang terjadi kepada Crimea.

Sejarah Ukraine

Ukraine asalnya adalah sebahagian daripada Soviet Union dan menjadi sebuah negara merdeka pada 24 Ogos 1991 apabila Parlimen Ukraine ketika itu mengisytiharkan Ukraine tidak lagi menjadi sebahagian daripada Soviet Union ketika kehancuran dan pembubaran Republik Komunis Soviet Union pada penghujung tahun 1991.

Ukraine adalah sebuah negara yang terletak di timur Eropah dan adalah negara kedua terbesar di Eropah selepas Rusia. Dengan populasi sebanyak 43.7 juta orang, ia adalah negara ke lapan berpenduduk paling tinggi di Eropah dengan Kiev sebagai ibu negara kepada Ukraine.

Lebih 67.3% peratus daripada populasi Ukraine beragama Kristian Ortodoks, 7.7% kristian yang tidak bermazhab, 9.4% Greek Katolik, 2.2% Protestan, 0.8% Roman Katolik, 2.5% Islam, 0.4% yahudi dan sebilangan kecil beragama Buddha dan Pagan.

Menariknya, Ukraine dahulunya pernah bernaung di bawah Kerajaan Islam atau mungkin pernah menjadi sebuah negara Islam iaitu dari kurun ke 14 di bawah Kerajaan Islam Tatar atau dengan nama “Great State of Turkic “ dan pada kurun ke 15 dibawah Kerajaan Islam Crimea Tatar yang digelar “Crimean Khanate“ sebelum berada di bawah naungan Khilafah Uthmaniyyah pada kurun ke 18.

Crimea yang dahulunya menjadi sebahagian daripada Ukraine sebelum ditakluk oleh Rusia pada Mac 2014 mempunyai populasi penduduk Islam yang tinggi berbanding wilayah-wilayah lain di dalam Ukraine iaitu sebanyak 15% daripada bilangan populasi Crimea sebanyak 2.4 juta orang.

Majoriti umat Islam Ukraine adalah bermazhab Hanafi dan mengikut Sheikh Said Ismagilov, Mufti Badan Pentadbiran Islam Ukraine (UMMAH), pada tahun 2016 terdapat lebih daripada sejuta orang Islam di Ukraine dan dijangka telah meningkat berikutan ramai penduduk Ukraine yang menganut agama Islam.

Sejarah Konflik Ukraine – Rusia

Konflik Rusia – Ukraine bermula pada awal tahun 2014 yang berkisar mengenai status dua wilayahnya iaitu Crimea dan Donbas. Semuanya bermula pada penghujung 2013 apabila Kerajaan Ukraine ketika itu menggantung perjanjian dengan Kesatuan Eropah iaitu perjanjian awal Ukraine untuk menyertai Kesatuan Eropah.

Penggantungan perjanjian tersebut menyebabkan Kerajaan Ukraine ketika itu dilihat lebih condong ke arah Rusia dan Vladimir Putin di mana Presiden Ukraine ketika itu, Viktor Yanukovych dilihat oleh rakyat Ukraine sebagai boneka kepada Rusia.

Akibat daripada itu, rakyat Ukraine bangkit menentang Viktor Yanukovych dan kerajaannya serta protes besar-besaran mula kelihatan di serata Ukraine membantah tindakannya menggantung perjanjian dengan Kesatuan Eropah dan menuntut perletakan jawatan beliau dan kerajaannya.

Awal 2014, protes yang berlaku sebelumnya bertukar menjadi revolusi dengan gerakan untuk menumbangkan Viktor Yanukovych dan kerajaannya. Rusuhan berlaku di serata Ukraine yang akhirnya pada 22 Februari 2014, Viktor Yanukovych dan kerajaannya berjaya ditumbangkan.

Ketika berlakunya krisis atau revolusi tersebut, tentera Rusia secara senyap telah menyusup masuk ke Crimea dan menawan bangunan parlimen, lapangan terbang, fasiliti ketenteraan dan lokasi-lokasi strategik yang berada di Crimea.

Pada 1 Mac 2014, Rusia telah mengeluarkan resolusi berdasarkan petisyen dari Vladimir Putin untuk menggunakan kuasa tentera di wilayah Ukraine yang telah diduduki. Beberapa hari kemudian, bermulalah operasi ketenteraan Rusia secara total menakluk Crimea.

Selepas Crimea, operasi ketenteraan Rusia mula memasuki wilayah Ukraine yang lain seperti Donbas, Donetsk dan Luhansk. Selain daripada tentera Rusia, militia-militia tempatan yang disokong oleh tentera Rusia turut sama menyertai peperangan menentang tentera Ukraine di mana akhirnya, Luhansk dan Donetsk mengisytiharkan ia bebas dari Ukraine dan menubuhkan sebuah republik yang pro Rusia.

Tidak terhenti di situ sahaja, tentera Rusia mara hingga ke Kherson namun kemaraan tersebut terhenti di situ sahaja akibat tentangan daripada tentera Ukraine. Tindakan Rusia tersebut mendapat kecaman daripada seluruh dunia terutamanya daripada Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah termasuk juga NATO.

NATO mengancam akan mengambil tindakan terhadap Rusia. Rusia mula dikenakan pelbagai sekatan termasuk sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. Akibat daripada itu, Rusia mula mengendurkan tindakan ketenteraan di Ukriane dan mengundurkan tenteranya hingga ke Crimea.

Walaupun selepas itu tidak berlaku insiden-insiden besar yang boleh menyebabkan peperangan di antara kedua-dua negara, pertempuran kecil-kecilan tetap berlaku antara tentera Ukraine dengan militia-militia yang pro Rusia di beberapa bandar di bahagian timur Ukraine.

Pada November 2018, sekali lagi Rusia mencetuskan krisis di Ukraine. Kapal peronda milik Rusia yang mengawal lautan di sekitar Crimea telah melepaskan tembakan ke arah kapal perang milik Ukraine dan mencederakan beberapa orang anak kapal yang berada di dalam kapal tersebut.

Sejurus selepas itu, tentera Rusia telah menawan 2 buah kapal perang dan sebuah kapal tunda milik Ukraine yang berada di Laut Hitam berdekatan Crimea. Tidak hanya dengan itu, tentera Rusia telah menempatkan sebuah kapal kargo besar di bawah jambatan utama Crimea yang menjadi penghubung antara Crimea dengan tanah besar Rusia dalam usaha untuk menghalang laluan di antara Laut Hitam ke Laut Azov yang menghubungkan Ukraine melalui lautan.

Sekali lagi tindakan Rusia mendapat kecaman Majlis Keselamatan PBB, Kesatuan Eropah dan NATO. Selain ancaman dan kecaman kepada Rusia, kali ini sekatan yang lebih berat dikenakan terhadap Rusia oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah yang berakhir dengan Rusia mengembalikan semula 3 buah kapal yang ditawannya kepada Ukraine.

Krisis terkini Ukraine, usaha Amerika Syarikat mengembalikan kuasa geopolitiknya

Krisis terkini di Ukraine saat ini, selain daripada cubaan Rusia untuk meneruskan tujuan asalnya menakluk Ukraine secara keseluruhan, ia juga adalah cubaan Amerika Syarikat untuk menekan Rusia dan meluaskan pengaruhnya berikutan kredibilti serta imejnya tercalar teruk dan menjunamnya pengaruh geopolitinya berikutan kegagalan polisi-polisi luarnya ketika era pentadbiran Donald Trump.

Amerika Syarikat dilihat telah gagal di Asia Barat dengan majoriti negara yang sedang menghadapi konflik di Asia Barat sudah seperti tidak menghiraukan lagi peranan Amerika Syarikat di rantau tersebut malah sudah banyak negara-negara di Asia Barat dilihat akrab atau mula menjinakkan diri dengan Rusia.

Situasi di Asia Barat saat ini tentunya tidak menyenangkan Amerika Syarikat walaupun Amerika Syarikat dilihat berhempas pulas untuk mencelah atau mencari tapak dalam setiap konflik, sidang damai mahupun perbincangan. Ini membuatkan Amerika Syarikat berusaha mencari “ tapak baharu “ untuk menaikkan imej dan kredibilitinya.

Isu Laut China Selatan dilihat terlalu rumit dan penuh komplikasi buat Amerika Syarikat di mana ia berkemungkinan mengambil jangka masa yang panjang untuk mencapai tujuannya selain daripada berkemungkinan ia akan menelan belanja yang besar berserta mampu mewujudkan ketidakstabilan yang berpanjangan terhadap ekonomi dan politik Amerika Syarikat jika berseteru dengan China.

Satu-satunya usaha atau jalan terbaik buat Amerika Syarikat ialah membabitkan diri dalam konflik Rusia – Ukraine ketika ini kerana ia adalah satu isu yang “ straight forward “ dan mampu menguntungkan Amerika Syarikat dalam jangka masa pendek.

Ia juga dilihat mampu merapatkan kembali hubungan yang telah renggang di antara Amerika Syarikat dengan negara-negara Eropah semenjak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat. Malah ketika ini Amerika Syarikat dilihat sebagai juara dalam krisis Rusia – Ukraine ketika ini dengan Joe Biden dan Antony Blinken, Setiausaha Negara Amerika Syarikat masing-masing telah memberi amaran kepada Rusia selain telah mengenakan sekatan terbaharu terhadap Rusia.

Namun Rusia dilihat lebih bijak dalam menghadapi situasi ini. Kunjungan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy ke Turki baru-baru ini menemui Recep Tayip Edrogan dilihat sebagai ulangan terhadap apa yang berlaku di Syria dan Libya di mana dilihat Rusia dan Turki seperti berkerjasama untuk menolak kuasa geopolitik Amerika Syarikat.

Jika benar sebagaimana diramalkan kepada Ukriane adalah ulangan terhadap apa yang berlaku di Syria dan Libya, Amerika Syarikat dilihat menghadapi laluan yang sukar di Ukraine dalam usaha untuk menaikkan semula imej dan kredibilitinya di mata dunia. Malah mungkin, hubungannya dengan negara-negara Eropah juga akan lebih renggang kerana dilihat tidak mampu menangani konflik Rusia – Ukraine.

Jika ini berlaku, Amerika Syarikat mungkin tidak mampu meneruskan usahanya untuk kekal sebagai kuasa tunggal geopolitik dunia lagi malah akan hilang takhtanya kepada China mahupun Rusia. Apa yang sedang dilihat oleh dunia ketika ini baik di Asia Barat, Laut China Selatan dan Ukriane, Amerika Syarikat sedang berusaha sehabis daya untuk mengembalikan pengaruhnya sebagai kuasa besar geopolitik dunia.

Sehingga saat ini, ia dilihat tidak berjaya malah mungkin gagal mempertahankannya dalam masa 2 – 3 tahun lagi. Samada Amerika Syarikat akan dipintas oleh China mahupun Rusia atau mungkin Turki, nampaknya ia hampir pasti berlaku. Mungkin sudah sampai masa berakhirnya hayat Amerika Syarikat memonopoli geopolitik dunia demi untuk kebaikan semua.

Semoga ada sinar disebalik semua kekalutan dan kezaliman yang sedang berlaku. Semoga Allah SWT memberi rahmat dan keberkatan kepada kita semua di Ramadhan yang mulia ini.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 24/4/2021

- Advertisement -