Setengah juta petani daftar program imunisasi

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Sambutan dalam kalangan petani terhadap Program Imunisasi Covid-19 dianggap memberangsangkan apabila hampir setengah juta sudah membuat pendaftaran.

Mereka menganggotai lebih 270 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pendaftaran dibuat melalui pelbagai kaedah termasuk aplikasi MySejahtera dan pusat kesihatan.

- Advertisement -

“LPP memandang serius perkara itu termasuk mengarah pegawai-pegawai PPK turut membantu memudahkan petani membuat pendaftaran,” katanya selepas melakukan lawatan di Kampung Gong Jering, Selising, kelmarin.

Pada lawatan itu, beliau meluluskan peruntukan bagi membina jalan pertanian sepanjang 500 meter bagi kemudahan petani membawa hasil ke bandar.

Selain itu sumbangan RM3,000 bagi membina dewan serbaguna di kampung berkenaan.

Dr Nik Zawawi yang juga ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, bakinya hampir 500 petani lagi dijangka akan membuat pendaftaran sebelum berakhir tahun ini.

“Ini disebabkan kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman yang sukar dijejaki pegawai-pegawai PPK.

“Selain itu menghadapi pelbagai halangan seperti kawasan berbukit yang sukar dilalui kenderaan,” katanya.

Menurutnya juga golongan terbabit perlu dibantu kerana tinggal di kawasan terpencil di luar bandar dan ketiadaan alat komunikasi atau akses internet.

Bagaimanapun kata beliau PPK tetap akan terus berusaha mendaftarkan petani dengan apa cara sekalipun sebelum musim tengkujuh akhir tahun ini. – HARAKAHDAILY 23/4/2021

- Advertisement -