PASIR MAS: Keluarga penduduk miskin di Kampung Jejawi di Dun Meranti Rahimah Abdul Rahman terharu apabila diberitahu akan mendapat rumah baharu disumbang wakil rakyat.
Ahli parlimen Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, pada peringkat awal beliau bercadang untuk membaik pulih rumah berkenaan khususnya di bahagian dapur di samping membina sebuah bilik.
Bagaimanapun katanya selepas meninjau dari dekat rumah terbabit ternyata ia begitu daif dan tidak sesuai dengan bilangan anaknya yang ramai.
Katanya, mengambil kira keadaan itu beliau menukar cadangan untuk membina sebuah rumah baharu kepada keluarga berkenaan.
“Keputusan itu diambil hasil perbincangan bersama penghulu bagi membina sebuah rumah baharu di tapak milik ibu bapa Rahimah,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga terbabit semalam.
Sebelum ini ibu bapa Rahimah tinggal di rumah berkenaan, namun berpindah ke rumah baharu yang didirikan Majis Agama Islam Kelantan pada 2013.
Ahmad Fadhli berkata rumah lama tersebut akan diroboh bagi membolehkan pembinaan rumah dibina baharu di tapak yang ada sekarang.
Katanya, sementara rumah baharu dibina tidak lama lagi keluarga terbabit boleh menumpang di rumah ibu bapanya yang terletak berdekatan.
Menurutnya pembinaannya dijangka dimulakan selepas Aidilfitri nanti.
Rahimah mendiami rumah tersebut bersama suami yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah bersama lima anak.
Rahimah ketika ditemui melahirkan rasa terharu di atas keprihatinan ahli Parlimen Pasir Mas membantu keluarganya memiliki rumah yang lebih selesa.
Katanya, dalam keadaan ekonomi sekarang dan pendapatan suaminya sebagai tukang kebun tidak mampu membina rumah sendiri. – HARAKAHDAILY 23/4/2021