NGO Cina sumbang katil, tilam PKRC Panji

KOTA BHARU: Usaha kerajaan mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Dewan Wawasan Kompleks Belia Dan Sukan Kelantan turut mendapat kerjasama NGO.

Tzu-Chi dan 11 NGO Cina di Kelantan menyumbangkan 200 tilam dan bantal kepada PKRC di Panji yang dijangka beroperasi mulai esok.

Jurucakap pasukan petugas NGO terbabit Ang Wei Chong berkata, seramai 30 sukarelawan mengambil masa selama tiga jam memasang katil dan menyusun mengikut penjarakan seperti ditetapkan.

Advertisement

Kata beliau pihaknya perlu memastikan semua kelengkapan itu siap dipasang dan disusun rapi segera bagi membolehkan PKRC itu digunakan esok.

“Sebanyak 45 double decker tiba dengan lori kami menggerakkan sukarelawan bagi kerja-kerja pemasangan, termasuk memasang 110 katil mudah alih yang dipinjam daripada Pertubuhan Amal Tzu-Chi.

“Katil itu disumbang seorang peniaga Cina. Secara keseluruhan pusat itu mempunyai 200 katil yang lengkap dengan tilam dan bantal,” katanya yang juga Ketua Pemuda Hokkien Hoay Kuan Kelantan di sini, hari ini.

Ang juga berkata, dalam usaha membendung wabak Covid 19 NGO itu mempunyai misi yang selari dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memutus rantaian wabak degan cepat.

Ang juga berkata, program itu merupakan kali ketiga pihaknya menghulur sumbangan kepada PKRC.

Kata beliau pada 11 Januari lepas 11 NGO terbabit bersama Tzu Chi menyerahkan sumbangan 140 katil, tilam, dan bantal kepada PKRC di PUTIK.

“Minggu lepas mereka menghantar tambahan 75 tilam dan bantal,” tambahnya.

NGO yang terbabit dalam program berkenaan iaitu Hokkien Hoay Kuan Kelantan, Persatuan Lam Ann Kelantan, Persatuan Shing Ann Kelantan, Persatuan Eng Choon Kelantan.

Selain itu Persatuan Chin Kang Kelantan, Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, YMM Negeri Kelantan, Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Kelantan State Amulet Club, Buddhist Missionary Society Malaysia Kelantan Branch dan Kelantan Chat Group (fb). – HARAKAHDAILY 23/4/2021