Isu harga barang perlu ditangani secara seimbang

Kepentingan pengguna dan pihak terlibat dalam rantaian pengedaran mesti sama-sama dijaga

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Rakyat sebagai pengguna mesti sentiasa dilindungi dari sudut kemampuan untuk berbelanja dan kerajaan harus mencari penyelesaian terhadap isu kenaikan harga barang keperluan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu berkata, kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu fokus kepada punca kenaikan harga.

Kata beliau, kenaikan yang berlaku bukan setakat ayam mentah yang hangat diperkatakan dua minggu kebelakangan ini, tetapi juga barangan lain sebagai keperluan penggunaan harian dan musim perayaan.

- Advertisement -

Serunya, masalah tersebut perlu diatasi secara seimbang melibatkan pemantauan seluruh rantaian pengedaran melibatkan semua pihak berkaitan dan bukannya kepada pihak terakhir iaitu penjual dan pembeli sahaja.

Misalnya dalam isu harga ayam kata Andansura, mesti dikawal dari proses penternakan hingga terhasilnya ayam bersih kepada pengguna, iaitu termasuk benih anak ayam, makanan ternakan dan sebagainya.

“Harga kawalan dari pihak kerajaan kenakan khasnya pada hari ini harga siling ayam standard sebanyak RM7.90. Harga kawalan ini untuk memastikan pengguna tidak terbeban.

“Tetapi tanpa mengawal harga ‘supply chain’, dibimbangi akan memberi kesan dan menjejaskan pengusaha lain seperti penternak dan juga pemborong,” ujarnya yang juga ADUN Beserah.

Akuinya terhadap permintaan semasa memang semakin tinggi dan wujud kemungkinan pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga hingga menjejaskan dan membebankan para pengguna.

Pun begitu beliau berharap pihak berwajib khususnya KPDNHEP mengambil tindakan secara seimbang menangani kepentingan semua pihak yang terlibat dalam masalah yang sudah menjadi isu rakyat ini.

Sementara itu, dalam reaksi diperolehi daripada seorang peniaga ayam di Pasar Balok, Ali Akbar menyatakan bahawa makanan ayam yang diimport dari luar negara seperti jagung dan soya semakin mahal.

“Jadi harga ayam dari ladang pun jadi mahal. Sekiranya kerajaan tidak bertindak segera akan jadi bebanan kepada kami peniaga kecil, bahkan masyarakat yang berpendapatan kecil terutama menjelang Hari Raya,” kesalinya. – HARAKAHDAILY 23/4/2021

- Advertisement -