90 peratus peniaga ayam turun harga

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Hasil tinjauan di Pasar Besar Alor Setar rata-rata peniaga menurunkan harga, namun terdapat juga belum berbuat demikian.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah Rae Morn Verak berkata, peniaga diberi masa tiga hari untuk mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang dikuatkuasakan.

Kata beliau pihaknya mengambil langkah pemeriksaan prihatin untuk memastikan selepas tiga hari SHMMP dikuatkuasakan peniaga perlu menyelaraskan harga mengikut skim berkenaan.

- Advertisement -

Menurutnya SHMMP Aidilfitri 2021 berkuatkuasa bermula 21 April hingga 20 Mei mensasarkan beberapa barangan kawalan terutama daging, ayam dan telur ayam.

“Tempoh tiga hari untuk memberi peluang peniaga menjual atau menghabiskan stok lama sebelum mereka memulakan harga SHMMP berkenaan.

“Tinjauan itu juga untuk memberi nasihat dan mendengar permasalahan mereka untuk mengetahui keuntungan yang bakal mereka perolehi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Rae Morn juga berkata, pihaknya akan menyelaras di peringkat pemborong dan penternak bagaimana mekanisme untuk turunkan harga ayam di musim perayaan.

Bagaimanapun katanya hampir 90 peratus peniaga ayam sudah mula menjual mengikut harga skim terbabit, cuma didapati terdapat ketidakseragaman harga di gerai-gerai daging tempatan.

“Peniaga daging tempatan ada yang menurunkan harga tetapi masih ada yang kekal harga lama,” ujar beliau.

Sementara itu, seorang peniaga ayam di pasar berkenaan, Wan Fauzi Wan Ismail, 50, memuji langkah kerajaan yang bertindak awal mengawal harga ayam.

Katanya sebelum ini harga ayam naik mendadak terutama seminggu sebelum Ramadan dan seminggu selepas Ramadan.

“Harga naik mengejut sehingga ayam di pasaran meningkat RM9.30 sekilogram,” katanya.

Ujar beliau antara alasan pembekal berpunca daripada kenaikan harga dedak dan ayam banyak yang mati.

Beliau yang berniaga lebih 30 tahun tidak menafikan isu sindiket daging import antara sebab ramai pengguna memilih ayam sehingga permintaannya tinggi. – HARAKAHDAILY 23/4/2021

- Advertisement -