Tindakan tegas peniaga engkar Skim Harga Maksimum

- Advertisement -

KANGAR: Bermula semalam sehingga 20 Mei ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menguat kuasa Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021.

Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan Perlis, Azizan Sulaiman berharap selepas pelancaran SHMMP, pengguna tidak lagi gusar untuk membeli keperluan harian.

Katanya, kerajaan menetapkan harga maksimum dan diharap tiada lagi masalah yang timbul kepada pengguna untuk membeli belah sempena Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

- Advertisement -

“Pelancaran Skim Harga Maksimum sempena Bulan Ramadan dan kita baharu 10 hari menjalani ibadah puasa,” katanya pada majlis pelancaran SHMMP di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Azizan juga berkata, KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan barangan yang dijual tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.

“Kita akan bertindak tegas terhadap peniaga-peniaga yang melanggar peraturan yang dibuat kementerian.

“Setakat ini kami belum mendapat aduan daripada peniaga mengenai skim tersebut. Jika ada laporan rasmi insya Allah kita akan melihat supaya tiada berlaku salah faham,” ujarnya.

Baru-baru ini peniaga ayam memohon kerajaan menyelesaikan isu kenaikan harga ayam di peringkat ladang sebelum pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 dilaksanakan.

Ramai peniaga bimbang SHMMP 2021 boleh memberi tekanan kepada mereka akibat harga ayam daripada pembekal yang tinggi, namun terpaksa menjual pada harga rendah.

Di bawah skim terbabit harga ayam standard dijual pada harga tidak melebihi RM7.90 untuk runcit, manakala RM7.10 bagi harga borong. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -