Skim Harga Maksimum kawal harga ayam di pasaran

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salim (tengah) dalam program Walkabout SHMMP 2021 di Pasar Besar, Alor Setar.
- Advertisement -

KUALA KEDAH: Hasil pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHNEP) mendapati harga barangan kawalan seperti daging, ayam dan telur mematuhi skim ditetapkan di musim perayaan.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salim berkata, hampir keseluruhan harga barangan keperluan menepati prosedur operasi standard (SOP) barangan kawalan.

Katanya KPDHNEP menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri bermula 21 April hingga 20 Mei 2021 untuk negeri Kedah kecuali Langkawi.

- Advertisement -

“Skim harga itu berkuat kuasa 20 hari menjelang Hari Raya dan 10 hari selepas itu. Ia bertujuan memastikan harga barangan tidak dinaikkan sesuka hati,” katanya selepas program Walkabout SHMMP 2021 di Pasar Besar Alor Setar, semalam.

Sebelum ini terdapat rungutan pengguna berkenaan harga ayam dan daging agak tinggi.

Wan Romani juga berkata, skim berkenaan memberi manfaat kepada pengguna, peruncit dan pemborong bagi mengelak mana-mana pihak mendapat keuntungan berlipat ganda.

Sementara itu lima Notis Pengesahan Maklumat Barang (NPMB) serta Notis Bertulis dikeluarkan KPDHNEP kepada lima syarikat pemborong dan penternak di negeri ini.

Wan Romani berkata, tindakan itu untuk melihat sama ada kenaikan harga sebelum ini mempunyai unsur pencatutan atau tidak.

Beliau berkata dalam perjumpaan baru-baru ini dengan pemborong ayam, kelapa dan telur, pihak berkenaan menyambut baik pelaksanaan SHMMP

“Antara yang mereka suarakan harga makanan ayam iaitu jagung dan soya yang agak mahal sekarang.

“KPDHNEP mencadangkan Kementerian Pertanian mengambil inisiatif menjadikan kelapa sawit sebagai dedak ayam supaya kos makanan haiwan dapat dikurangkan,” katanya yang juga Adun Bukit Pinang.

Harga barangan kawalan di bawah SHMMP iaitu daging lembu tempatan RM34 sekilogram, ayam standard (RM7.90 sekilogram), ayam super (RM8.70 sekilogram) manakala telur ayam gred A, B, C antara 34-36 sen sebiji dan ayam hidup RM6.80 sekilogram.

Daging kerbau import (India) RM20 sekilogram, ikan kembung RM15 sekilogram dan ikan selayang RM12. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -