Potensi tanaman kenaf secara integrasi di Perak

- Advertisement -

PARIT: Kerajaan Negeri Perak menyambut baik promosi penanaman kenaf oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang mensasarkan seluas 80 hektar kawasan yang berpotensi dijadikan projek perintis tanaman itu di negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Razman Zakaria mengalu-alukan untuk projek tanaman itu dipromosi di pelbagai peringkat negeri ini terutama warga luar bandar yang sudah terlibat dalam komoditi sawit.

Beliau menyambut komitmen Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali untuk mempopularkan kenaf sebagai komoditi masa hadapan dan sumber pendapatan baharu terutama bagi golongan tersebut di negeri ini.

Kedua-dua pimpinan ini sepakat untuk menjana potensi tanaman kenaf terutama di Lambor dan Slim River, Muallim ketika bertemu dalam Majlis Pelancaran Penuaian Kenaf di Kampung Lambor, Perak Tengah, di sini hari ini.

Menurut Razman lagi, Kerajaan Negeri juga dalam perancangan mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar sebagai pemangkin utama kepada perkembangan kenaf dalam negeri ini.

“Kita akan melihat generasi belia pula yang mengusahakan tanaman ini yang sudah semestinya akan menambah pendapatan dan pasaran yang sentiasa terjamin,” ulas beliau.

Kerjasama strategik antara kedua pihak melalui agensi utama LKTN dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) akan membangunkan industri kenaf di samping termasuk kepada masyarakat awam sebagai sumber ekonomi dan pendapatan boleh jana.

“Maka besarlah harapan kita semua supaya industri ini akan mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan dan manfaat ekonominya  dapat dinikmati oleh masyarakat awam yang mengusahakannya,” ujarnya lagi.

Turut bersama hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahaya dan Ahli Lembaga Pengarah PPPNP, Ustaz Mustafa Wahab serta Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd Salleh. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -