Permintaan tinggi punca harga meningkat – Peniaga

- Advertisement -

PASIR MAS: Kepada siapa yang hendak dipersalahkan. Sedangkan setiap kali Ramadan dan menjelang Hari Raya kenaikan harga keperluan harian sering berulang.

Kenaikan harga barangan keperluan di Kelantan bermula sejak hari pertama Ramadan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna dan peniaga.

Kenaikannya dikesan membabitkan ayam mentah, daging, ikan dan beberapa jenis makanan basah lain.

- Advertisement -

Tinjauan Harakahdaily di Pasar Besar Tasek Raja dekat sini mendapati daging, ikan dan ayam mengalami peningkatan sejak awal Ramadan dengan kenaikan antara 70 sen hingga RM3 sekilogram.

Ayam mentah dijual antara RM6.99 sehingga RM 8.90 sekilogram, daging lembu import pula RM32 sekilogram berbanding RM30 sebelum ini.

Seorang peniaga ayam Rohani Che Soh, 30, berkata, beliau tidak terkecuali terkesan kerana harga ayam yang dibekalkan pembekal adalah tinggi.

Katanya, peniaga bukan sengaja menaikkan harga namun ia bergantung kepada harga daripada pemborong dan pengeluar.

“Contohnya hari ini pembekal tolak (jual) dengan harga RM7.50 dan kita peniaga ada yang terpaksa jual dengan harga RM8.50 dan ada yang jual RM8.90,” katanya.

Seorang peniaga daging di pasar tersebut Izwan Malik, 32, berkata, harga daging import dan daging tempatan turut berlaku kenaikan.

Katanya, kenaikan harga daging adalah situasi normal bagi peniaga ketika bulan Ramadan sejak dahulu lagi.

“Sesetengah komponen seperti tulang dan paru-paru lembu susah untuk mendapat bekalan kerana permintaan yang tinggi, jadi harga juga menjadi mahal.

“Harga melambung tinggi bukannya datang dari pembekal, tetapi ia datang daripada ‘orang tengah’,” katanya.

Sementara itu seorang pengguna Fathma Ghani, 29, berkata, harga barangan keperluan harian sekarang meningkat sehingga menjejaskan kehidupan rakyat dalam suasana wabak Covid-19.

Menurutnya ada penduduk yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, begitu terkesan apabila harga barangan harian meningkat. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -