Pedoman Al-Quran: Laksana janji tanda ketakwaan

- Advertisement -

UMAT Islam merupakan umat yang dimuliakan Allah dengan sebab kepatuhan mutlak kepada Allah SWT. Sekiranya seseorang Muslim itu cuai dan mengabaikan janjinya terhadap Allah, maka hilanglah kemuliaan diri bahkan dia tergolong dalam kalangan munafik yang suka membelakangi hak Allah dan manusia. Firman Allah SWT:

- Advertisement -

۞ وَمِنۡهُم مَّنۡ عَـٰهَدَ ٱللَّهَ لَىِٕنۡ ءَاتَىٰنَا مِن فَضۡلِهِۦ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِینَ. فَلَمَّاۤ ءَاتَىٰهُم مِّن فَضۡلِهِۦ بَخِلُوا۟ بِهِۦ وَتَوَلَّوا۟ وَّهُم مُّعۡرِضُونَ

Maksudnya: “Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurnia-Nya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi orang-orang yang soleh. Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan)”. (Al-Taubah: 75-76)

Imam Qurthubi menukilkan pandangan Ibnu Abd Al-Barri yang mengaitkan ayat ini dengan Tha’labah bin Hatib Al-Anshori yang meminta Nabi SAW mendoakan kekayaan kepadanya dan berjanji akan membantu orang dalam kesusahan nanti. Namun setelah menjadi jutawan, dia mulai lupa tuntutan Allah sehingga tidak mahu membayar zakat. Keizzahan dalam dirinya sebagai mukmin lenyap begitu sahaja kerana mungkir janji.

Perlu diingat bahawa ciri-ciri seorang mukmin adalah sentiasa berusaha menepati janji termasuk janji yang harus, apatah lagi pada perkara yang wajib dipenuhinya. Apabila ingkar terhadap sesuatu perjanjian, itu adalah tanda orang yang mempunyai ciri kemunafikan.

Ini kerana janji adalah suatu akad, iaitu suatu simpulan yang mengikat antara pihak yang mengucapkan janji dan pihak yang menerima janji. Lebih-lebih lagi jika pihak yang menerima janji mengotakan apa yang ditawarkan oleh pihak yang berjanji. Betapa agama Islam sangat mengambil berat dalam soal janji, walaupun dibuat secara lisan. Kita hendaklah berjanji dalam perkara-perkara yang mampu ditepati dan ditunaikan dan jika janji tidak ditepati, Allah akan mengenakan laknat bahkan para malaikat dan manusia turut melaknatinya. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ أَخْفَرَ مُسْلِمًا، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ وَالْمَلائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ، لاَ يُقْبَلُ مِنْهُ صَرْفٌ وَلا عَدْلٌ

“Barangsiapa yang tidak menepati janji seorang Muslim, maka dia mendapat laknat Allah, Malaikat dan seluruh manusia. Tidak diterima daripadanya taubat dan tebusan.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Begitu juga, jika seseorang itu melafazkan nazar maka ia juga telah berjanji dengan Allah dan wajib dilunaskan. Seandainya nazar tersebut dalam ruang lingkup ketaatan kepada Allah SWT, maka hendaklah dia menunaikannya. Namun, jika dia bernazar perkara kemaksiatan, haram dilaksanakan. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu”. (Riwayat Al-Bukhari)

Adab ketika melafazkan janji hendaklah disertai dengan menyebut insya-Allah supaya orang yang berjanji tidak termasuk dalam golongan yang berbohong jika ada keuzuran syarie untuk menunaikan janji itu suatu ketika nanti. Pandangan ini dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali dan Imam Abu Bakar Al-Jasshos melalui tafsirnya.

Nabi SAW merupakan orang yang paling memenuhi janji sama ada janji itu dibuat secara bertulis, secara rasmi atau berbentuk ucapan. Segala perkara yang dijanjikan terhadap diri sendiri atau orang lain, Rasulullah SAW tidak pernah mengkhianatinya walaupun terhadap musuh Baginda. Inilah adab yang sewajarnya diteladani serta dipraktikkan oleh seluruh umat Islam supaya mereka kekal menjadi umat yang bertakwa dan mendapat kemuliaan daripada Allah dunia dan akhirat.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
10 Ramadhan 1442/22 April 2021 – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -