Kenyataan Mahathir provokasi cetus kemarahan

Pengerusi UMMAH Wilayah, Md Shukor Aziz, Mohd Zai Mustafa, dan Khalil Idham Lim.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai provokasi kononnya rakyat sedang marah kepada institusi istana.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa mempersoalkan kenyataan bekas perdana menteri itu berhubung sumber data digunakan Mahathir sebagai membuktikan rakyat mula marah kepada istana.

“Beliau tidak mengemukakan apa-apa kajian atau bukti kepada apa yang dikatakan.

- Advertisement -

“Jadi sebab itu kita minta pihak polis membuat satu siasatan apa tujuan dan apa sebenarnya yang dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir sama ada ia benar ataupun tidak dan apakah akibatnya daripada kata-kata beliau itu,” katanya di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, tengah hari tadi.

Beliau menemani Pengerusi UMMAH Wilayah, Md Shukor Aziz dan Pengerusi UMMAH Melaka membuat laporan polis berhubung kenyataan Mahathir sejak akhir-akhir ini.

Turut hadir Setiausaha UMMAH, Khalil Idham Lim.

“Sebagai contoh di Malaysiakini, pada penyerahan memorandum (semalam) memohon pengisytiharan darurat dimansuhkan ataupun dibatalkan. Beliau telah membuat kenyataan kepada media bahawa orang Melayu juga marah kepada istana, ini kenyataan yang keluar di media-media daripada kenyataan Mahathir,” ujar Mohd Zai.

Merujuk kenyataan itu kata Mohd Zai, ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menyebut apa-apa perkataan menghasut yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan serta di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Hadir sama pada sidang media Pengerusi UMMAH Wilayah, Md Shukor Aziz dan Setiausaha Agungnya, Khalil Idham Lim.

Tambah Mohd Zai, kesannya sohor di Twitter dan Facebook apabila rakyat mula memerli Permaisuri Agong.

Semalam, lakaran dikeluarkan di Facebook aktivis dan artis grafik, Fahmi Reza menggunakan tanda pagar #DengkiKe merujuk kepada komen Permaisuri Agong.

Beliau berkata perkara sebegini tidak wajar diwujudkan pada waktu darurat ini kerana ia menyebabkan sensitiviti dan darurat yang bertujuan untuk menumpukan kepada penamatan Covid-19.

“Kita harus memberikan penumpuan penuh kepada kerajaan yang ada sekarang iaitu kerajaan Yang diPertuan Agong bukan kerajaan Tan Sri Muhyiddin yang merupakan orang yang dilantik sahaja.

“Maka sebarang bentuk ataupun perkara yang dilakukan yang boleh mengancam ketenteraman awam, keselamatan awam atau menimbulkan keadaan tidak senang hati di dalam negara maka tindakan boleh diambil berdasarkan ordinan darurat yang diisytiharkan,” tegasnya pada satu sidang media hari ini. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -