Halangan politik punca Kelantan lambat membangun

- Advertisement -

BIARPUN kedudukan Kelantan begitu strategik berhampiran Indochina, namun peluang itu tidak dimanfaat memandangkan perbezaan politik antara negeri dan pusat. Sedangkan Indochina yang meliputi Kempuchea, Loas dan Vietnam sebagai lokasi utama tumpuan pelabur.

- Advertisement -

Namun sekarang Kelantan berbeza apabila berada sebaris dengan kerajaan pusat di bawah Perikatan Nasional (PN).

Oleh itu bagi mendekati prospek perkembangan ekonomi di Kelantan di bawah versi baharu ikuti temubual wartawan SALMAH MAT HUSAIN bersama Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimana Dato’ melihat potensi ekonomi di Kelantan sekarang?

Kita sentiasa berusaha untuk melaksanakan projek yang penting di Kelantan khususnya untuk peningkatan pertumbuhan ekonomi.

Antara sebab ekonomi di Kelantan ketinggalan berbanding dengan negeri lain pertama kerana kedudukan geografinya di sebelah timur yang kebetulannya tidak banyak kemudahan, tidak ada pelabuhan, tidak ada rangkaian jalanraya yang baik.

Lapangan terbang di Pengkalan Chepa juga tidak bersifat antarabangsa. Jadi ia menjadi halangan kepada pelabur untuk datang melabur ke negeri ini.
Sebab itu daripada dahulu lagi ketika kita mula-mula mentadbir negeri ini kita meminta kerajaan Persekutuan supaya membina lebuh raya yang menghubungkan Kelantan dengan pantai barat.

Tetapi oleh kerana masa itu masalah politik maka ia tidak berjalan. Begitu juga cadangan kita supaya membina pelabuhan, ia berlaku perkara yang sama.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob

Kebetulan Kelantan kedudukannya begitu strategik paling dekat dengan Indochina. Kerana itu pembangunan secara menyeluruh di Kelantan begitu penting.

Namun sekarang setelah kita menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat, kita minta supaya diutamakan pembangunan infrastruktur di Kelantan.

Alhamdulillah sewaktu Dato’ Seri Azmin Ali menjadi Menteri Ekonomi sebelum ini beliau mengisytiharkan lima projek besar akan dilaksanakan di Kelantan.

Antaranya lebuhraya Centre Spine Road (CSR) yang menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai ke Simpang Pelangai di Pahang, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Lebuh Raya Pantai Timur, jambatan Palekbang dan jalan raya Pasir Puteh-Machang dan Jeli.

Ini antara perkara yang kerajaan negeri minta untuk dilaksanakan. InsyaAllah ia telah pun dimasukkan dalam RMK-12.

Sebelum ini kerajaan Kelantan sering menuntut supaya pusat membayar royalti petroleum, bagaimana perkembangannya sekarang?

Pada dasarnya perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk membayarnya sebagaimana negeri-negeri lain. Tan Sri Muhyiddin pada dasarnya juga bersetuju untuk membuat perkara yang sama.

Cuma sekarang isu teknikal sahaja yang perlu diselesaikan. InsyaAllah mungkin selepas ini akan diadakan lagi perbincangan berhubung perkara itu secara lebih terperinci lagi bagaimana untuk menyelesaikan isu royalti.

Bagaimana pendekatan PAS selepas berada bersama kerajaan Persekutuan di bawah PN sekarang?

Sebelum ini maklumat tepat tentang Kelantan tidak tersebar sebagaimana selayaknya di dalam media masa harian. Apa yang tersebar dalam media arus perdana hanya perkara negatif khususnya berkenaan ekonomi.

Mereka tidak melihat tentang faktor-faktor yang berkaitan sosial, geografi dan yang paling besar ialah tekanan politik.

Sedangkan Kelantan berpotensi besar, tetapi tekanan politik begitu kuat khususnya ketika era pentadbiran Dr Mahathir. Pertembungan politik itu dianggap begitu tegang sehingga banyak aspek yang boleh dimanfaatkan tidak boleh dilaksanakan. Kita dinafikan hak, dianaktirikan, didiskriminasikan dan sebagainya dalam tempoh begitu lama.

Mungkin ada perbezaan antara zaman almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob sekarang?

Kalau kita perhatikan sewaktu zaman almarhum Tuan Guru lebih kepada meletakkan asas, iaitu mengukuhkan asas Membangun Bersama Islam (MBI) atau perubahan dalam pentadbiran kerajaan itu sendiri.

Era Menteri Besar sekarang mengukuhkan dan melebarkan lagi pelaksanaan dasar MBI. Sebagai contoh, zaman almarhum Tuan Guru membina rumah, namun menteri besar sekarang memperelokkan lagi rumah tersebut dengan hiasan dan dekorasi yang menarik.

Kelantan dikenali dengan keunggulan kerana memiliki banyak institusi pendidikan agama sejak dahulu lagi. Adakah tumpuan diperluas kepada banyak lagi bidang lain?

Kita tidak hanya menjurus kepada pengajian agama semata-semata, sebaliknya kita mengukuhkan pendidikan agama. Tetapi dalam masa yang sama kita turut membuka ruang kepada bukan bidang agama.

Almarhum Tuan Guru pernah menawarkan kepada Universiti Limkokwing supaya membina kampus di Kelantan. Kita sediakan tanah seluas 100 ekar di Machang ketika itu. Tetapi kerana kekangan politik menyebabkan universiti berkenaan terpaksa menarik diri.

Kita berharap kerajaan pusat yang ada sekarang dapat mengatasi halangan-halangan seperti sebelum ini untuk menjadikan Kelantan maju setanding negeri-negeri lain.

Apa produk pelancongan di Kelantan yang boleh dijaja ke luar negara?

Kita ada produk sendiri untuk dibawa ke luar negara, sebagai contohnya dikir barat. Kita telah variasikan dikir barat dalam bahasa Arab. Kita usahakan sebaik mungkin untuk tujuan itu. Malah dikir barat yang terkenal sebagai budaya Kelantan sebagai produk utamanya.

Kalau ia boleh disebarkan ke luar negara, mungkin boleh menjadi antara produk pelancongan yang masyhur dari negeri ini. Yang paling penting apa yang saya perhatikan ialah produk makanan.

Sekiranya Korea ada kimchi, kita ada produknya sendiri, iaitu ‘budu’. Budu dikenal pasti sebagai sumber makanan berprotein tinggi kerana diperbuat daripada ikan bilis.

Ramai anak muda berjaya dalam pelbagai bidang di luar Kelantan. Bagaimana kerajaan negeri dapat memanfaatkan kelebihan itu?

Kita pernah mengadakan pertemuan dengan anak-anak Kelantan khususnya yang berjaya dalam bidang akademik, usahawan dan sebagainya.

Alhamdulillah ia dihadiri ramai anak Kelantan di perantauan yang dihadiri lebih 100 orang. Banyak pandangan yang diberikan mereka dalam usaha untuk memajukan Kelantan pada masa hadapan.

Kita akan pertingkatkan pertemuan dengan mereka bagi membincang bagaimana cara untuk membantu negeri dan rakyat Kelantan. Kita berbangga dengan kejayaan anak Kelantan khususnya dalam bidang keusahawanan.

Bagaimana cara untuk memudahkan masyarakat memahami dasar MBI?

Kita minta masyarakat melihat Kelantan dari sudut positif di samping memberi teguran untuk menambah baik pentadbiran kerajaan negeri.
Kita sedia menerima teguran, tetapi teguran yang membina dan bukan hanya mencari aspek kesalahan semata-mata.

Kita memerlukan kritikan-kritikan membina supaya kita boleh memperbaiki diri dan mengukuhkan lagi dasar MBI. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -