Bubur lambuk ikonik perpaduan umat Islam

- Advertisement -

BENTONG: PAS DUN Ketari berusaha merebut keberkatan Ramadan yang penuh barakah ini dengan mengambil inisiatif mengedarkan bubur lambuk istimewa ‘Ketari Sejahtera’ ke setiap surau.

Dihadiri sama wakil Surau Taman Harmoni, Surau Taman Chegar Medang, Surau Benus, Surau Industri dan Surau Benus Jaya proses agihan berpusat di rumah Ketua PAS Cawangan Chegar Medang, Nordin Rasip.

Menurut penyelaras DUN Ketari, Ustaz Roslan Mad Esa, bubur lambuk boleh dijadikan lambang atau ikonik perpaduan dan kesatuan bagi masyarakat Islam di seluruh negara setiap kali Ramadan menjelma. 

- Advertisement -

“Proses penyediaan dan memasak bubur semuanya dilakukan secara gotong-royong sama ada di masjid atau surau dan ini mampu mengeratkan tali silaturahim antara sesama penduduk tanpa mengambil kira fahaman politik masing-masing.

“Kerap kali kita lihat kegiatan rewang sebegini dijadikan medan untuk bertemu dan beramah mesra dan makanan merupakan antara wadah paling sesuai dijadikan ‘motif’ memaknai perpaduan itu. 

“Kerana siapa yang ada masa untuk bertelingkah jika sibuk memasak dan kemudian menikmati bubur lambuk?” ulasnya yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong.

Usai penyerahan bubur lambuk itu, Ustaz Roslan dan petugas DUN Ketari bergegas untuk menyempurnakan slot tazkirah Ramadan, solat tarawih dan soal jawab agama bersama penduduk Orang Asal (OA) di Surau al Hidayah KOA Kampung Hulu Pareh, Karak.

“Sungguh, mereka sangat banyak soalan mengenai Islam khasnya Ramadan dan saya cuba memanfaatkan sebaiknya ruang dan peluang yang diberikan ini.

“Kita nak saudara kita ini turut merasa bahawa inilah nikmat yang paling besar Allah S.W.T anugerahkan kepada kita semua iaitu nikmat iman dan Islam,” ujar mantan Timbalan Qadhi Daerah Bentong mengulas jemputan Pejabat Agama Islam Daerah Bentong itu. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -