Bazar Ramadan gagal patuhi SOP diarah tutup

- Advertisement -

PADANG TERAP: Bazar Ramadan di Bukit Nyamuk, Kuala Nerang menjadi bazar pertama di Kedah yang diarahkan tutup berikutan kegagalan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

- Advertisement -

Penutupan itu berkuatkuasa hari ini berdasar arahan dikeluarkan Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) Dato’ Md Shuhaime Abd Rahman.

“Arahan itu dibuat susulan MDPT mendapati wujudnya ketidakpatuhan terhadap SOP yang ditetapkan sebelum ini.

“Penutupan itu juga bagi memastikan tindakan dalam mengekang penularan Covid-19 dapat dibuat terutama dalam kalangan masyarakat.

“Lebih-lebih lagi satu mukim di daerah tersebut bertukar kepada zon kuning,” kata beliau pada satu kenyataan.

Kata beliau operasi bazar berkenaan didapati tidak mengikut arahan sebagaimana yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Antara kesalahan yang dilakukan ketiadaan kaunter saringan atau pemeriksaan suhu ke atas peniaga dan pengunjung, selain tiada kawalan keluar masuk pelanggan ke tapak bazar.

Md Shuhaime juga berkata, terdapat juga peniaga serta pengunjung yang tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Sekiranya arahan berkenaan gagal dipatuhi, tindakan penguatkuasaan dan undang-undang akan diambil selaras dengan peruntukan kuasa kepada MDPT mengikut Seksyen 72(1)(f) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” tambahnya.

Sebelum ini, Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, terdapat lebih 70 bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di negeri itu dibenarkan beroperasi sehingga 12 Mei ini.

Bagaimanapun katanya, kebenaran pengoperasian itu bergantung sepenuhnya perkembangan bilangan kes harian baharu Covid-19 negeri itu, selain pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan PBT.

Malah Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor pernah melahirkan kebimbangan ekoran pihak penguatkuasa PBT melaporkan peniaga dan pengunjung bazar Ramadan di kebanyakan tempat gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Oleh itu beliau berharap mendapat kerjasama semua pihak supaya mematuhi peraturan agar tidak timbul implikasi buruk sehingga memungkinkan operasi bazar Ramadan terpaksa diarahkan tutup. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -