Batu gunung berapi ditemui di Kelantan

- Advertisement -

JELI: Pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menemui batu gunung berapi di beberapa lokasi kawasan perlombongan di jajahan ini.

Selain itu mereka juga menemui ketulan amethyst atau batu kecubung yang bernilai tinggi.

Eksplorasi itu membabitkan 48 pelajar Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB) UMK dan 36 mahasiswa jurusan Geologi dari beberapa universiti di Indonesia.

- Advertisement -

Mereka mengikuti Program International Geomapping Jeli (IGJ) 2021 di Jeli dan kawasan sekitarnya.

Peserta dibahagikan kepada 12 kumpulan dan ditempatkan di kawasan kajian di Bukit Jeli, Bukit Salor, Kampung Lawar, Kampung Sungai Rual, Lata Chenai, Sungai Pergau, Sungai Renyok dan Sungai Tadah.

Ketua Jabatan Geosains FSB, Dr Wani Sofia Udin berkata, eksplorasi kali ini merekodkan penemuan terpenting iaitu ketulan batu kecubung.

“Batu berkenaan nama saintifiknya amethyst bernilai tinggi itu ditemui di beberapa lokasi kawasan perlombongan,” katanya pada kenyataan di sini.

Program tersebut dianjur Jabatan Geosains FSB dengan kerjasama Pusat Antarabangsa UMK turut disertai Institut Teknologi Bandung, Universitas Jambi, Universitas Tadulako, Universitas Padjadjaran, Universitas Hasanuddin dan Universitas Gadjah Mada.

Peserta antarabangsa terbabit mengikuti kajian secara maya, manakala penuntut UMK berada di lapangan.

Pelajar UMK membuat panggilan video kepada peserta antarabangsa bagi menerangkan penemuan batuan hasil daripada kajian pemetaan di lapangan.

Pensyarah FSB, Arham Muchtar Achmad Bahar pula menerangkan peta kedudukan kawasan kajian lapangan di kawasan Jeli kepada penuntut UMK.

Majlis penutupan Program International Geomapping Jeli (IGJ) 2021 diadakan di Dewan Utama UMK Kampus Jeli pada 12 April lepas.

Dr Wani juga berkata, kajian peserta turut menemui ketulan batu kuartza dan dragfold iaitu kesan geologikal struktur pada batuan yang amat jarang ditemui.

“Turut ditemui batuan jenis pyrite dan batu gunung berapi yang membolehkan pelajar mengkaji morfologi serta mengemas kini peta geologi kawasan Jeli melalui aktiviti pemetaan yang dilakukan.

“Kajian itu memberi hasil penting kepada mahasiswa khususnya sebagai pendedahan terhadap pemetaan geologi serta mengaplikasikan kerja lapangan,” ujarnya.

Menurutnya juga kajian lapangan dan maya itu melibatkan proses pertukaran pelajaran dan kefahaman secara aktif.

Kata beliau peserta juga diberi tugasan berkaitan subjek asas pemetaan.

Malah katanya hasil ekspedisi kajian mengenai batuan itu berjaya menemui beberapa mineral yang terbaru serta sukar ditemukan. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -