Semua jajahan di Kelantan dikenakan PKP

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua jajahan di Kelantan akan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah tiga lagi jajahan/daerah iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang dikenakan PKP bermula esok hingga 29 April.

Sebelum ini, PKP dilaksanakan di jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah bermula 16 April hingga 29 April.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKP di tiga jajahan itu dilaksanakan berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

- Advertisement -

“KKM (Kementerian Kesihatan) melaporkan terdapat peningkatan kes aktif sebanyak 83.9 peratus dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 18 kes kepada 112 kes dan ketiga-tiga jajahan ini telah bertukar kepada zon merah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan PKP adalah untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti itu dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan lain.

Ismail Sabri juga berkata PKP Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di tiga taman perumahan di Lahad Datu, Sabah iaitu Taman Aman 3, Taman Aman Jaya dan Taman Palm Height bermula esok hingga 5 Mei.

“Sehingga kini, secara keseluruhan sebanyak 45 kes positif Covid-19 telah direkodkan di ketiga-tiga lokaliti tersebut iaitu 24 kes di Taman Aman 3, Taman Aman Jaya (10 kes) dan Taman Palm Height (11),” katanya.

Beliau turut memaklumkan penamatan PKPD susulan penurunan kes baharu di Kampung Menuang Baru di Limbang, Sarawak pada 24 April seperti dijadualkan.

Katanya PKPD di Perumahan Komuniti Bersepadu Pulau Serai di Pekan, Pahang yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan hingga 29 April susulan peningkatan kes.

Ismail Sabri berkata sejumlah 230 individu ditahan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan 228 daripada mereka dikenakan kompaun manakala dua lagi direman.

Merujuk kepada Operasi Benteng, beliau berkata lapan pendatang tanpa izin ditahan semalam dan empat kenderaan darat turut dirampas. – BERNAMA

- Advertisement -