Ramal akan berlaku peristiwa besar di suku tahun 2021?

- Advertisement -

TULAR video seorang individu yang tak dikenali meramal satu peristiwa besar akan berlaku pada suku ketiga tahun 2021. Gaya perbualan yang dibuat itu semacam dia adalah pakar dalam bab meramal masa depan.

Ramai pula yang kongsi video tersebut tanpa memikirkan implikasinya terhadap iman kita. Isu peristiwa akhir zaman dan konspirasi yang tertentu sudah banyak dibahaskan oleh para alim ulamak muktabar. Kejadian yang berlaku pada masa depan adalah berada di luar kotak pemikiran kita. Apa yang sahih dan benar adalah apa yang disebut oleh al-Quran dan Nabi sahaja.

- Advertisement -

Kita boleh meramal sesuatu perkara itu berlaku dengan syarat kita ini betul-betul ahli di dalam perkara tersebut. Sepertimana akan berlakunya gerhana matahari atau bulan atau tarikh-tarikh penentuan perayaan dan sebagainya kerana ia adalah di bawah lingkungan ilmu Falak yang telah pun digali dan dicerap oleh para cendekiawan kita.

Namun peristiwa besar akhir zaman seperti letupan besar, turunnya asap Al-Dukhan, keluarnya binatang Dabbah, turunnya Nabi Isa, lahirnya Imam Mahdi dan sebagainya – ianya perlulah di rujuk kepada Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W.

Saya pernah berforum dengan Dato’ Dr Zulkifly Muda, mantan Mufti Terengganu yang menghuraikan bab peristiwa akhir zaman dan dikaitkan dengan fitnah konspirasi. Beliau menyatakan sepanjang pembacaan beliau hampir semua teori konspirasi tidak pun berlaku malah lebih kepada pembohongan sahaja.

Ya peristiwa akhir zaman akan tetap berlaku seperti mana yang terdapat dalam kitab-kitab Hadis Sahih. Namun dengan meramalkan tarikh-tarikh tertentu sesuatu peristiwa itu dibimbangi kita terjebak dalam syirik.

Sebelum Ramadan tahun lalu pernah juga viral satu video ustaz yang membuat ramalan peristiwa besar pertengahan Ramadan. Ustaz itu membaca Hadis palsu berkaitan peristiwa ad-Dukhan (asap) yang akan turun pada Jumaat yang jatuhnya 15 Ramadan. Kemudian dari itu akan berlakulah kiamat.

Semua mak cik kampung yang dengar video tersebut mula bimbang dah risau. Ada yang telah menjual tanah dan mengeluarkan semua tabungan bank untuk membeli bekalan kerana sesuatu peristiwa besar akan berlaku dengan wujudnya Dajjal dan sebagainya.

Rupa-rupanya itu kepalsuan semata-mata. Masalahnya penceritaan itu dibawa oleh pengkuliah yang berada di podium ceramah masjid! Bukan untuk kita marah kuliah itu dijalankan di masjid, tetapi penceritaan yang tidak tahu sumber kesahihannya yang dibawa itulah yang menjadi isu utamanya. Lebih banyak kepada berandaian dan mengumpulkan teori yang berbentuk konspirasi.

Ramai ustaz telah memperbetulkan balik kenyataan ustaz viral itu seperti Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Dato’ Badlishah, Ustaz Wadi Anuar dan beberapa lagi. Alhamdulillah pencerahan yang cukup mantap.

Nasihat mereka, jangan cepat mempercayai berita sedemikian kecuali telah pun diterangkan dalam al-Quran dan Hadis Sahih oleh Ulamak Muktabar. Individu yang tidak dikenali dari ketokohan dan keilmuannya kadang-kadang banyak membawa teori karut-marut seperti konspirasi dan seumpamanya. Tidak lain mereka hanya bercerita bagi menakut-nakutkan masyarakat. Justeru, berhati-hatilah dalam menyebarkan video atau berita yang tidak benar. Nanti kita pula terpalit sama melakukan dosa. Nauzubillah.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 21/4/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -