Pemuda gerak peranan bantu atasi isu pengangguran

- Advertisement -

PENGANGGURAN adalah isu yang dekat dengan kami, Pemuda PAS Malaysia dan Pemuda Perikatan Nasional. Sejak PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan, kami Pemuda PAS telah melakukan ‘engagement’ sebanyak mungkin dengan para pembuat dasar, pemegang-pemegang taruh serta agensi-agensi yang terlibat dalam isu ini bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan bukannya hanya sekadar melaung-laungkan masalah yang ada sambil berpeluk tubuh.

Apabila Pemuda PAS diberi peluang secara langsung dalam proses libat urus pembangunan Belanjawan 2021, kami komited untuk membantu kerajaan dan telah membentangkan inisiatif-inisiatif yang kami yakin boleh diambil oleh pihak kerajaan bagi mengawal dan mengurangkan kadar pengangguran dalam negara kita kepada YAB Perdana Menteri.

- Advertisement -

Antara cadangan kami yang telah diterima pakai adalah Majlis Pekerjaan Belia (dijenamakan sebagai Majlis Pekerjaan Negara) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri sendiri. Bagi memastikan kesinambungan penyelesaian masalah ini, kelmarin saya telah bertemu dengan Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman untuk membincangkan isu pengangguran ini. Beliau telah berkongsi data yang amat mengejutkan saya!

Sehingga 9 April 2021, di Portal MYFutureJobs terdapat 508,305 jawatan kosong yang ditawarkan dan hanya 223,760 yang berdaftar memohon pekerjaan di portal ini. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa sebenarnya terdapat peluang pekerjaan di negara kita dan PERKESO perlulah memperkasakan lagi cara penyebaran maklumat ini kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan.

Kami Pemuda PAS dan Pemuda Perikatan Nasional berjanji akan bekerjasama dengan PERKESO bagi membantu anak-anak muda di luar sana untuk mengisi kekosongan jawatan di MYfutureJobs ini secara optimum.

Insya-Allah, kami akan membantu kerajaan untuk ‘reach out’ kepada anak-anak muda yang masih menganggur melalui program berskala besar di peringkat nasional, negeri dan Parlimen yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Ayuh bersama dengan kami!

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -