Pembedahan Nur Hana berjalan lancar

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH! Bersyukur kepada Allah S.W.T di atas limpah kurniaNya mengizinkan prosedur pembedahan anakanda saya Nur Hana berjalan lancar. Terima kasih kepada Dr Abu Yamin bin Khamis (Cardiothoracic Surgery Consultant) dan semua Doktor Pakar Bedah, Pakar Bius, Jururawat, dan kakitangan perubatan yang terbabit di Hospital Besar Pulau Pinang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjayakan pembedahan ini. Nama-nama mereka yang belum saya kenali semuanya tercatat dari tinta para malaikat. Jazakumullahu khairun jaza’.

Hana dibawa masuk ke dewan pembedahan jam 1:40 petang, dibius dan dipersiapkan untuk pembedahan sekitar jam 2:00 petang. Prosedur pembedahan selesai jam 5:05 petang dan dibawa ke ICU sekitar jam 5:30 petang.

- Advertisement -

Terima kasih Dr Abu Yamin yang menghantar mesej Whatapps memaklumkan proses-proses yang dilaksanakan dari masa ke semasa. Hana akan diletakkan di ICU selama 2 hari dan belum boleh dilawati. Proses berikutnya akan berjalan seperti yang ditentukan oleh hospital.

Terima kasih kepada Emak Nur Hana JusmaLailani Jusoh yang berjaya dengan cemerlang ‘mempedulikan’ setiap inci keperluan Nur Hana dan anak-anak saya sepanjang 21 tahun. Semoga Nur Hana segera pulih.

Kepada pimpinan parti, sahabat-sahabat dalam PAS Pusat, Negeri, Kawasan dan semua peringkat, friends media sosial, sahabat, kenalan, saudara jauh dan dekat, Dato’ Paduka SUK dan Pegawai-pegawai Tadbir Negeri dan Persekutuan yang mendoakan kesembuhan Nur Hana, saya sambut doa kalian dengan ucapan jutaan terima kasih, doa itu kembali kepada mereka jua.

YAB MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -