PAS sedia atur pertemuan Umno-Bersatu demi ummah

- Advertisement -

PASIR PUTEH: PAS yakin perselisihan faham antara Umno dan Bersatu boleh diselesaikan sekiranya kedua-dua pihak kembali kepada agenda Islam dengan meletak isu perpaduan ummah.

Ketua Dawan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, perpaduan ummah menjadi agenda kedua selepas Nabi Muhammad s.a.w tiba di Madinah dengan menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin.

Katanya, perkara pertama baginda lakukan selepas tiba di Madinah mendirikan masjid kemudian menyatukan umat Islam yang berpecah ketika itu.

“Begitu juga dalam situasi sekarang gabungan kekuatan kedua-dua parti terbabit penting demi kelangsungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Baru Central di sini, hari ini.

- Advertisement -

Beliau diminta mengulas kebimbangan banyak pihak kedudukan kuasa politik orang Melayu di negara ini akan terjejas pada PRU-15 berikutan kemelut yang timbul dalam kalangan parti-parti Melayu.

Pada Februari lepas Umno menghantar surat kepada Bersatu untuk tidak mengadakan lagi kerjasama politik kedua-dua parti pada PRU15.

Bagaimanapun keputusan itu turut dipertikai sebahagian lagi pemimpin Umno terutamanya mereka yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan PN sekarang.

Dr Nik Zawawi juga berkata, PAS sedia mengaturkan pertemuan antara kedua-dua pihak bagi mencari titik persamaan yang boleh menyelesaikan kemelut yang dihadapi mereka sekarang.

“Tanpa mencari penyelesian ke arah penyatuan ummah kita bimbang akan menjejaskan kedudukan orang Melayu Islam di negara ini.

“Perpaduan ummah penting demi kepentingan orang Melayu termasuk membangun semula ekonomi.

“Sekarang jumlah orang Melayu di negara kita sebanyak 68 peratus tetapi hanya menguasai 16 peratus ekonomi berbanding 84 peratus kekayaan negara dimiliki kaum-kaum lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -