PAS di Kelantan terus utuh lebih 30 tahun

- Advertisement -

KEKALAHAN tipis Tengku Razaleigh dengan 43 undi kepada Dr Mahathir menyaksikan Kumpulan 12 yang kemudian menjadi Kumpulan 11 mengemukakan saman terhadap kemenangan Dr Mahathir Mohamad.

Saman itu dan perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikendalikan Hakim Harun Mahmud Hashim seterusnya menyaksikan pengharaman Umno oleh Hakim Mahkamah Tinggi pada 2 Februari 1988.

Penubuhan Umno (Baru) oleh Dr Mahathir Mohamad untuk mengatasi kemelut itu mengakibatkan penyingkiran Tengku Razaleigh daripada parti itu.

Berikutan itu Tengku Razaleigh menubuh Parti Semangat 46 sebagai menyambung hayat politik Umno lama dalam politik negara.

- Advertisement -

Parti Semangat 46 bekerjasama dengan PAS, BERJASA, dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) bagi membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk bertembung Kerajaan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 1990 (Mustafa 2009).

Pertembungan tersebut menyaksikan Kerajaan BN Kelantan mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah Perikatan atau komponen BN apabila parti itu gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri tersebut. (Dinamika Politik Kelantan 1970-1990: 95).

Boleh dikatakan Kelantan dengan ekonominya yang masih terbelakang merupakan negeri berbentuk tradisional dengan dinamika politiknya tersendiri.

Dalam persoalan politik, Kelantan sering menarik perhatian berdasarkan keunikannya sebagai sebuah negeri yang merupakan benteng terakhir kemelayuan dan juga merupakan medan pertarungan antara Umno dengan PAS.

Ini kerana dalam mempengaruhi majoriti masyarakat Melayu yang tinggal menetap di negeri tersebut.

Apabila Kelantan dikuasai oleh PAS dalam Pilihan Raya Umum 1959, pemimpin Umno menyedari suatu fenomena yang dianggap bertentangan dengan arus perdana dalam pola politik negara telah muncul dan mesti ditangani sebaik mungkin.

Kelantan sentiasa bergelora

Hakikat itu menyebabkan politik Kelantan sentiasa bergelora kerana negeri itu sentiasa menjadi rebutan PAS dan Umno.

Pertarungan sengit antara kedua-dua parti itu membabitkan persoalan agama, bangsa dan ekonomi sehingga menyebabkan perpecahan yang amat serius dalam kalangan masyarakat Melayu Kelantan.

Perpecahan itu semakin sukar untuk dirungkaikan berdasarkan situasi politik di Kelantan yang berlaku sepanjang tahun 1960-an.

Namun begitu, Peristiwa 13 Mei 1969 memberi ruang dan peluang kepada Umno waktu itu di bawah pimpinan Tun Razak Husin dan PAS diwakili Mohd Asri Muda berunding atas asas kesurvivalan orang Melayu sehingga membawa kepada pembentukan Kerajaan Campuran Perikatan-PAS pada 1 Januari 1973 dan BN pada 7 Julai 1974.

Ia melakarkan sejarah baharu dalam politik negeri tersebut dan Malaysia. Namun pembentukan Kerajaan BN bersama PAS di Kelantan hanya mampu bertahan selama tiga tahun setengah.

Bagaimanapun Menteri Besar Mohammad Nasir bertindak bertentangan dengan dasar-dasar perjuangan PAS yang menyebabkan beliau dipecat daripada parti tersebut.

Pemecatan itu mencetuskan krisis politik dan akhirnya PAS disingkirkan daripada Barisan Nasional. Kerajaan Persekutuan menggunakan krisis politik itu dengan mengisytiharkan darurat.

Kemudiannya diadakan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 11 Mac 1978. PAS mengalami kekalahan paling teruk dalam pilihan raya itu.

Malah parti tersebut terpaksa menyerahkan Kelantan sebagai pengkalan politik utama parti itu di Malaysia kepada Umno Kelantan pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah yang kemudiannya mengisytiharkan Mohamad Yaakob sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sebagai pemimpin de facto, Mohamad Yaakob melaksanakan pentadbiran negeri Kelantan di bawah bayangan kepimpinan Tengku Razaleigh selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan dengan melaksanakan projek-projek pembangunan dan strategi-strategi politik untuk memperkukuh Kerajaan BN pimpinan Umno Kelantan.

Namun begitu perebutan kuasa untuk menerajui kepimpinan Umno Pusat antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh membawa kepada penyingkiran Tengku Razaleigh daripada persada politik Kelantan apabila Mahathir menubuhkan Umno (Baru).

Walau bagaimanapun Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Semangat 46 mengadakan kerjasama dengan PAS, BERJASA dan HAMIM dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan memenangi Pilihan Raya Umum 1990 yang berlangsung pada 21 Oktober 1990.

Kemenangan APU sekaligus mencipta sejarah baharu dalam politik negara, apabila berjaya menyapu bersih kesemua kerusi parlimen dan Dun.

Ia sekaligus menyebabkan kekuasaan Kerajaan BN pimpinan Umno berakhir di Kelantan. Angkatan Perpaduan Ummah juga tidak bertahan lama apabila Semangat 46 kembali semula ke pangkuan Umno pada 1996.

Namun PAS tetap kekal berkuasa di Kelantan. Kekuasaan PAS di negeri itu terus utuh selama lebih 30 tahun sehingga sekarang pada dekad-dekad awal abad ke-21. – HARAKAHDAILY 21/4/2021

Penulis ialah sarjana sejarah lepasan UKM. Sekarang bertugas sebagai Penggawa Daerah Semerak Pasir Puteh, Kelantan.

- Advertisement -