Muslim Care perlukan RM1.77 juta biaya projek wakaf Palestin

- Advertisement -

GOMBAK: Muslim Care Malaysia Society (MCMS) memperkenalkan platform tabung sosial bagi mengutip dana pembinaan tiga projek wakaf di Palestin bernilai RM3.44 juta.

Tabung tersebut adalah cetusan idea daripada seorang pelajar ijazah doktor falsafah (PhD), UIAM dari Palestin dengan melibatkan usahasama MCMS dan Kementerian Wakaf Palestin.

Presiden MCMS Zulkifli Wahijan berkata, projek pembinaan 10 bangunan komersial di Gaza itu akan dibangunkan secara tiga fasa dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

- Advertisement -

Jelas beliau, pihaknya akan menjadi pengantara bagi mencari dana pembinaan bernilai RM1.77 juta, manakala Kementerian Wakaf Palestin membiayai sepenuhnya kos tapak projek bernilai RM1.67 juta.

Zulkifli memaklumkan, pihaknya mensasarkan keseluruhan projek disiapkan pada suku pertama 2023 dengan nilai pulangan sewa bagi ketiga-tiga projek iaitu RM312,000 setahun.

“Fasa pertama Wakaf Tajul Al-Waqar melibatkan pembinaan lapan buah kedai di atas tapak seluas 266 meter persegi itu akan bermula selepas sasaran kutipan kos pembinaan RM250,000 dicapai pada penghujung Ramadan ini.

“Pendapatan sewa tahunan dari lapan buah kedai tersebut dianggarkan RM40,000 setahun dan akan disalurkan ke lebih 560 pusat tahfiz al-Quran di Palestin,” katanya selepas pelancaran Dana Wakaf Produktif Malaysia-Palestin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, semalam.

Turut hadir Rektor UIAM, Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak serta Dekan Fakulti Ilmu Islam dan Sains UIAM, Prof Dr Shukran Abd Rahman.

Manakala, Timbalan Menteri Wakaf Palestin, Dr Abdulhadi Al-Agha dan wakil Muslim Care Palestin, Ahmed Al-Najjar juga hadir secara dalam talian.

Tambah beliau, bagi fasa kedua dan ketiga pula, pihaknya merancang untuk membina dua bangunan komersial setinggi enam tingkat dengan kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM2.4 juta.

“Kos ini termasuk kos tanah dan pembinaan, bagaimanapun kos tanah telah disediakan oleh pihak Kementerian Wakaf Palestin. Bagi kos pembinaan kita memerrlukan sumbangan RM1.52 juta bagi kedua-dua projek (Wakaf Al-Mu’minun dan Wakaf Al-Khayr).

“Justeru, pihak MCM memohon jasa baik seluruh rakyat Malaysia termasuk pihak kerajaan dan swasta untuk sama-sama menyumbang kepada dana wakaf ini bagi membolehkan misi projek wakaf ini berjaya dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan,” rayu Zulkifli.

Sementara itu, Abdulhadi berkata, Palestin akan menggunakan pengalaman Malaysia dalam pengurusan wakaf bagi memajukan tanah wakaf di negara mereka.

“Kami menyambut baik usaha sama kali pertama ini dan akan mempraktikkan pengalaman Malaysia ini di Palestin.

“Kami juga bercadang untuk membuka tabung amanah bagi melaksanakan projek wakaf kami kelak,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyumbang untuk misi itu boleh disalurkan menerusi akaun Maybank (564490413882), Bank Islam (1401401014740) dan CIMB Bank (8604171675). – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -