Harga barang naik melambung: Rakyat gelisah – UMMAH

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mendesak kerajaan mengawal segera harga barang keperluan asas makanan rakyat seperti ayam, sayur, daging dan ikan yang naik secara mendadak di pasaran.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata keadaan ini memberi kegusaran dan kegelisahan kepada rakyat marhain.

Advertisement

“Harga runcit ayam telah mencecah sehingga RM10 sekilogram dan barang keperluan lain naik sehingga 10 peratus.

“Keadaan ini sangat membebankan dan menjejaskan perbelanjaan kepada rakyat,” katanya pada satu kenyataan media, semalam.

Kata Mohd Zai, kerajaan wajar bertindak segera bagi mengenalpasti punca kenaikan tersebut dan segera membuat tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Rakyat telah mula menyuarakan rungutan dan ini akan menjejaskan reputasi kerajaan yang mengutamakan perihatin, berkebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengkaji segera keadaaan ini dan melaksanakan pelan tindakan pengawalan yang menyeluruh bagi mengatasi keadaan ini.

“Punca kenaikan wajar disiasat sama ada kos pengeluaran yang tinggi atau ada sabotaj pemborong yang mengambil kesempatan menaikkan harga bagi mengaut keuntungan,” jelasnya.

Justeru itu, UMMAH menyarankan kepada Menteri Hal Ehwal Pengguna KPDNHEP dan agensi yang terlibat segera tampil memberi penjelasan kepada rakyat mengapa situasi tersebut berlaku.

Beliau turut menggesa pihak bertanggungjawab memberi jaminan bahawa tindakan yang konkrit sedang diambil dan sedang dilaksanakan bagi menurunkan dan menstabilkan harga barang kepeluan. – HARAKAHDAILY 21/4/2021