Buka ruang dedah Evangelisme Kristian dalam DAP

Berikutan saman mahu dibuat Steven Sim

- Advertisement -

SAYA teruja bila membaca kenyataan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, bahawa (a) beliau sebenarnya amat terkesan dengan fitnah dan tohmahan saya terhadap diri beliau sehubungan dengan pemberian motosikal kepada seorang lelaki Melayu Islam pekerja Food Panda (b) tuduhan-tuduhan saya terhadap diri beliau merosakkan nama beliau sebagai seorang Ahli Parlimen, dan (c) tuduhan-tuduhan saya terhadap diri beliau mengapi-apikan sentimen kaum dan agama dalam masyarakat kita.

Sepanjang pengetahuan saya, tulisan saya bertajuk ‘Beza Antara Bantuan Melayu Islam Dan Bantuan Cina Kristian’pada 16 April lalu, dan beberapa tulisan seterusnya, hanya berlegar dalam dunia Facebook saya dengan 2,000 perkongsian sahaja dan disiarkan oleh portal berita Harakah Daily sahaja berbanding hebahan Steven Sim mengenai pemberian bantuan beliau pada 13 April yang mendapat 30,000 perkongsian dan diviralkan ke seluruh pelosok dunia melalui pelbagai medium.

- Advertisement -

Tidaklah saya menyangka begitu besar sekali pengaruh tulisan yang hanya mendapat 2,000 perkongsian sahaja dan yang hanya disiarkan oleh satu portal berita sahaja sehingga ia boleh mendatangkan kerosakan ke atas nama seorang Ahli Parlimen yang sebelumnya begitu harum semerbak dengan hebahan mendapat 30,000 perkongsian dan diviralkan ke seluruh pelosok dunia melalui pelbagai medium malah yang didakwa boleh pula menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Saya tidak pernah walau sekali pun mempertikaikan segala bantuan yang diberikan oleh Steven Sim atau menggesa Melayu Islam supaya tidak menerimanya, sebaliknya saya hanya mengingatkan mereka supaya tidak memuja-muji secara berlebihan beliau kerana pemberian ini seolah-olah diorkestrakan dengan sebegitu rupa bagi tujuan untuk melonjakkan imej di samping mengingatkan beliau supaya tidak mensensasikan pemberian begini kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu Islam.

Saya juga sebenarnya tidaklah mencabar Steven Sim mengambil tindakan saman terhadap diri saya seperti yang didakwa oleh beliau, sebaliknya selaku ahli akademik saya terdidik dengan budaya memberikan butiran spesifik yang disertakan pembuktiannya kepada setiap kenyataan saya, jadi bila beliau mendakwa saya memfitnah dan mencemuh beliau maka sepatutnya beliau nyatakanlah di mana yang saya memfitnah dan mencemuh beliau, menafikannya atau menyaman saya.

Banyak tersebar di dalam Facebook dan WhatsApp kononnya tindakan Steven Sim menyaman saya adalah satu berita panas yang mampu menyenyapkan saya walhalnya bagi saya perkara ini adalah satu perkara biasa sahaja kerana saya sendiri telah, pada 28 Julai 2020, menyaman lima orang Ahli Parlimen DAP, iaitu Lim Kit Siang, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Wong Kah Woh dan Lim Lip Eng, jadi tiada apa pun yang merisaukan bila saya sekadar disaman oleh seorang Ahli Parlimen DAP.

Sebagai seorang ahli akademik yang bertanggungjawab, saya bersedia untuk mempertahankan segala kenyataan saya terhadap Steven Sim di mahkamah, apatah lagi bila ahli akademik lain seperti Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah turut, pada 17 April, mengingatkan anak-anak Melayu Islam supaya jangan mudah cair dengan bantuan ‘motosikal dan sewa rumah’ yang diberikan oleh wakil rakyat ultra kiasu kerana, kata beliau, ‘setiap bantuan mereka mesti ada udang di sebalik mee’.

Begitulah juga dengan tindakan ahli-ahli DAP sendiri yang turut senada dengan saya dalam mempertikaikan tindakan Steven Sim seperti kenyataan Jeff Ooi yang menyelar tindakan menyelusuri jalan untuk mencari rakyat miskin bersama jurugambar paparazzi dengan matlamat untuk mencari populariti dalam Facebook di mana, kata beliau, media massa dan ahli-ahli DAP di luar Pulau Pinang, termasuk mereka yang berada di dalam kerajaan-kerajaan negeri, khasnya EXCO-EXCO DAP, tidak menyukainya.

Lebih jauh lagi, selaku seorang ahli akademik yang telah sekian lama mengkaji mengenai kewujudan Evangelisme Kristian dalam dunia politik negara, termasuklah pelbagai seruan bagi mewujudkan ‘Kerajaan Tuhan’ (‘The Kingdom of God’), tindakan Steven Sim menyaman saya akan memberikan kita semua satu ruang yang luas untuk membuat apa-apa pendedahan dan pemeriksaan di mahkamah terbuka mengenai sejauh manakah wujudnya atau meluasnya Evangelisme Kristian dalam DAP.

Come on, just bring it on!

Nota: Tindakan Steven Sim menyaman saya boleh dibaca di sini: https://www.facebook.com/471097352961385/posts/5273092702761802/

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 21/4/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -