Bazar Ramadan Bukit Nyamuk diarah tutup

- Advertisement -

ALOR SETAR: Bazar Ramadan Bukit Nyamuk di Kuala Nerang diarahkan ditutup, susulan pemeriksaan pihak Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) mendapati prosedur operasi standard (SOP) gagal dipatuhi oleh peniaga serta pengunjung bazar itu.

Yang Dipertua MDPT, Datuk Suhaimi Abd Rahman berkata penutupan operasi bazar berkenaan berkuat kuasa Khamis, namun beliau tidak menyatakan tempoh penutupan bazar Ramadan itu.

- Advertisement -

“Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian atau penularan wabak Covid-19 daripada berlaku di dalam kelompok komuniti daerah ini,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Katanya antara SOP yang gagal dipatuhi peniaga dan pengunjung seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ialah tidak menyediakan kaunter saringan dan pemeriksaan suhu badan, tiada kawalan keluar masuk ke tapak bazar, tidak memakai pelitup muka, dan sebagainya.

Beliau berkata jika arahan berkenaan gagal dipatuhi, tindakan penguatkuasaan serta undang-undang akan diambil selaras dengan peruntukan kuasa kepada MDPT di bawah Seksyen 72(1)(f) Akta Kerajaan Tempatan 1976. – BERNAMA

- Advertisement -