TS Khalid Ibrahim bersih tuduhan salahguna kuasa

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, saya amat bersyukur dengan keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan semalam yang telah membersihkan nama baik saya berkenaan isu pembayaran wang pampasan (Voluntary SEparation Scheme atau VSS) kepada pegawai-pegawai saya yang kehilangan pekerjaan pada 2014.

Tahniah kepada Cik Faekah Husin, Puan Rohany Talib, Puan Arfa’eza Aziz, Puan Rahimah Kamaruddin, Haji Mustapha Talib, Encik Abdul Halim Mohamad Yusuf dan Encik Nazuri Ismail di atas keputusan yang diberikan.

- Advertisement -

Saya berterima kasih kepada mereka kerana bukan sahaja cemerlang dalam menjalankan tugas di pejabat Menteri Besar tetapi juga terus tekad dalam mempertahankan hak dan pendirian mereka. Meskipun terpaksa menunggu selama enam tahun untuk keputusan ini, kami sentiasa percaya kebenaran akan terbukti akhirnya. Keputusan ini lebih menggembirakan kerana datang pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Ternyata tuduhan bahawa saya telah menyalahguna kuasa dalam memberi pampasan tersebut adalah tidak berasas dan berniat jahat untuk mencemarkan rekod bersih saya sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor.

Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, saya tidak akan membuat keputusan kewangan yang akan merugikan dana rakyat. Pampasan tersebut adalah keputusan yang adil kepada bekas pegawai saya yang telah hilang pekerjaan akibat permainan kotor politik. Malah, pampasan VSS yang telah diberikan adalah jauh lebih rendah berbanding pampasan di sektor swasta termasuk kewangan dan pelaburan. 

Saya akur jatuh bangun dalam politik adalah lumrah tetapi ahli politik yang memegang kuasa pentadbiran tidak boleh mengamalkan politik dendam dan mencari kelemahan lawan hanya untuk menaikkan nama mereka. Sebaliknya, jalankan tanggungjawab dengan yakin dan telus serta melaksanakan polisi yang berkesan. Pastinya rakyat akan lebih yakin kepada kepimpinan yang sedemikian.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada hakim-hakim di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana mengadili kes ini dengan tekun. Tidak lupa sekalung penghargaan kepada barisan peguam kami yang diketuai oleh Edmund Bon dan New Sin Yew yang telah mewakili kami dengan profesional dan cemerlang. Semoga kita semua mendapat pengajaran dan Allah S.W.T memberkati segala usaha dan ibadat kita.

ABDUL KHALID IBRAHIM – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -