Pesawah Kedah dicadang tukar varieti benih padi

- Advertisement -

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pemborong tunggal bagi program Insentif Benih Padi Sah yang berkuatkuasa pada 27 November 2020. NAFAS mendapatkan bekalan Benih Padi Sah daripada 10 buah syarikat berlesen pengeluar Benih Padi Sah.

Dianggarkan keperluan Benih Padi Sah di Negeri Kedah 214,585 hektar keluasan bertanam 1,502,095 beg (30,042MT). Daripada jumlah keluasan tersebut, kawasan penanaman padi bagi Kawasan Muda di Negeri Kedah pula adalah seluas 80,612 hektar dan memerlukan sejumlah 564,300 beg Benih Padi Sah.

- Advertisement -

NAFAS menerima pesanan sebanyak 485,208 beg Benih Padi Sah dan telah membekalkan 183,507 beg kepada para pesawah dari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kedah. Sehingga 18 April 2021 sejumlah 401,570 beg Benih Padi Sah telah dipesan oleh 27 PPK MADA. Daripada jumlah tersebut dianggarkan sebanyak 85,199 beg Benih Padi Sah atau bersamaan 21.2 peratus telah diterima oleh PPK-PPK MADA.

Aktiviti pengedaran Benih Padi Sah masih rancak dilaksanakan di peringkat lapangan dengan sejumlah 61,652 beg Benih Padi Sah telah diedarkan kepada peladang. Jumlah ini bersamaan dengan 72.4 peratus daripada jumlah penerimaan semasa Benih Padi Sah oleh PPK.

Sebanyak 60,000 beg Benih Padi Sah dari varieti MR297 lagi sedang dalam proses penghantaran. Untuk makluman, berlakunya kelewatan pembekalan Benih Padi Sah ini adalah disebabkan varieti MR297 yang dikehendaki tiada dalam pasaran serta tidak dapat memenuhi keperluan semasa.

Stok benih padi mentah MR297 yang belum diproses adalah lebih kurang 13,500MT dan ini dapat memenuhi keperluan sebanyak 5,600MT (282,500 beg).

Varieti MR297 yang masih dalam proses kelulusan makmal Jabatan Pertanian dianggarkan sebanyak 3,000MT (150,000 beg) dan sekiranya mengambil kira hanya 60 peratus lulus ujian, akan tersedia sebanyak 1,800MT (90,000 beg) dan masih kurang 30,000 beg.

 NAFAS mencadangkan penukaran 50 hingga 60 peratus varieti MR297 kepada varieti MR219 bagi menampung keperluan Benih Padi Sah semasa.

Sekiranya cadangan penukaran dapat dilaksanakan, isu kelewatan penghantaran Benih Padi Sah di Negeri Kedah dapat diatasi dalam tempoh satu minggu.

Justeru itu. para pesawah adalah dicadangkan untuk menukar varieti MR297 kepada MR219. Stok semasa bagi varieti ini adalah sebanyak 5,300MT (265,000 beg) serta dapat menampung kekurangan varieti MR297 dalam tempoh semasa.

YB ENCIK AZMAN NASRUDIN
Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -