Penghayatan akhlak & Tasawuf melalui pedoman Al-Quran (Juz 8)

Photo by Masjid Pogung Dalangan on Unsplash
- Advertisement -

“Bertanggungjawab Dalam Pengurusan Harta Anak Yatim”

Islam sangat menitikberatkan tentang hak penjagaan anak yatim serta pengurusan harta mereka. Allah SWT menyuruh berlaku adil dan tidak mengkhianati serta cuai dalam menguruskan harta mereka sebagaimana ditegaskan melalui firman-Nya:

وَلَا تَقۡرَبُوا۟ مَالَ ٱلۡیَتِیمِ إِلَّا بِٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُ حَتَّىٰ یَبۡلُغَ أَشُدَّهُۥۚ وَأَوۡفُوا۟ ٱلۡكَیۡلَ وَٱلۡمِیزَانَ بِٱلۡقِسۡطِۖ لَا نُكَلِّفُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۖ وَإِذَا قُلۡتُمۡ فَٱعۡدِلُوا۟ وَلَوۡ كَانَ ذَا قُرۡبَىٰۖ وَبِعَهۡدِ ٱللَّهِ أَوۡفُوا۟ۚ ذَ ٰ⁠لِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa serta layak mengurus hartanya dengan sendiri). Dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan dengan kemampuannya. Dan apabila kamu menyatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat. Dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhi-Nya)”. (Al-An’am: 152)

- Advertisement -

Pengurusan harta anak-anak yatim diberi perhatian utama menerusi Al-Quran dan Al-Sunnah supaya harta mereka tidak hilang atau habis begitu sahaja. Harta tersebut perlu dikembangkan supaya bertambah dan bukan semata-mata menjadi simpanan sahaja serta perlu kepada perlindungan harta.

Jika ditinjau melalui ayat-ayat Al-Quran, terdapat lebih 20 tempat dalam Al-Quran yang menceritakan berkenaan pengurusan harta anak yatim. Ini menunjukkan betapa pentingnya menjaga harta anak yatim dengan pengurusan berhemah lagi efisyen.

Oleh itu, Islam memberi ruang yang luas dalam pelantikan mutawalli untuk menjaga kebajikan anak yatim. Mutawalli tidak semestinya seorang sahaja, boleh jadi dua atau tiga orang untuk menjamin kebajikan dan integriti dalam pengurusan harta. Harta mereka juga boleh diuruskan oleh organisasi, perbadanan, yayasan atau institusi yang akaunnya perlu diaudit setiap tahun bagi menjamin tertegaknya keadilan terhadap mereka.

Dalam menguruskan harta ini, Rasulullah SAW ada mengingatkan agar para pengurus harta anak yatim hendaklah mengembangkan harta tersebut dan tidak hanya menjadi simpanan sahaja. Sabda baginda SAW:

أَلَا مَنْ وَلِيَ يَتِيمًا لَهُ مَالٌ فَلْيَتَّجِرْ فِيهِ، وَلَا يَتْرُكْهُ حَتَّى تَأْكُلَهُ الصَّدَقَةُ

Maksudnya: “Hendaklah bagi sesiapa yang menjadi penjaga harta anak yatim memperniagakan harta tersebut, supaya ia tidak ditinggal dimakan zakat”. (Riwayat Tirmizi)

Begitu juga, setiap individu yang bertanggungjawab menjadi wali iaitu mereka yang bertanggungjawab menguruskan anak-anak yatim hendaklah sentiasa memberikan kasih sayang dan perhatian terhadap perasaan mereka. Bukan hanya setakat urusan harta diberi perhatian, malah pengurusan psikologi dan akhlak mereka mesti diberi keutamaan.

Anak-anak yatim juga perlu diuji untuk mengenalpasti kematangan mereka. Mereka perlu diuji dengan memberikan sedikit harta untuk dilihat bagaimana mereka menguruskannya. Sekiranya mereka ada kepandaian boleh mengurus, maka bolehlah diberikan harta-hartanya atau ketika mereka ingin mendirikan rumah tangga kelak.

Inisiatif dengan diwujudkan akaun khas untuk anak yatim perlu diambil, agar tidak bercampur dengan harta mutawalli. Juga untuk mengelakkan harta yang bercampur itu dituntut oleh waris mutawalli sekiranya dia meninggal dunia. Adalah disarankan agar dilantik beberapa individu untuk menjaga amanah harta tersebut bagi mengelakkan berlakunya manipulasi.

Semoga tarbiah Ramadhan melahirkan ramai golongan yang mengasihi serta berbuat kebajikan kepada anak yatim dengan kemampuan masing-masing. Disamping itu, tuntutan wajib dalam berhubung dengan masyarakat wajib dilaksana berpandukan syariat tanpa adanya unsur-unsur kezaliman, penipuan dan pecah amanah dalam semua segmen kehidupan.

USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAKOB
08 Ramadhan 1442/20 April 2021 – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -