Pendirian PAS isu judi tetap konsisten

- Advertisement -

KANGAR: Tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam isu iklan raya kontroversi yang dihasilkan sebuah syarikat perjudian mendapat pujian pelbagai pihak.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, tindakan pantas yang diambil pihak polis menahan pelakon yang terlibat dalam iklan berkenaan dipuji.

Katanya, PAS Perlis merakam ucapan terima kasih kepada pihak polis yang berjaya mengambil tindakan pantas.

- Advertisement -

“Pendirian PAS berkenaan isu judi sangat jelas dan tidak berubah sama ada ketika menjadi pembangkang mahu pun semasa PAS menjadi sebagai sebahagian daripada kerajaan sekarang.

“Kami menyelar kebiadaban syarikat judi yang menghina sensitiviti umat Islam dengan mempromosikan judi menerusi iklan raya. PAS Perlis berharap semua pihak yang terlibat diheret segera ke muka pengadilan,” katanya di sini.

Baru-baru ini, tular di media sosial iklan judi raya yang memaparkan judul ‘Hari Raya Berkaya’.

Video berdurasi 3 minit 18 saat itu dianggap mempromosikan aktiviti judi secara dalam talian. Di mana ia memaparkan dua pelakon yang menceritakan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri apabila mendapat wang daripada aktiviti perjudian.

Berikutan itu, pada 16 April lalu polis menahan lima lelaki dan tiga wanita yang dikatakan terbabit dalam pembikinan iklan berkenaan Jumaat lepas.

Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah pada satu kenyataan media.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, perbuatan menghina Islam dilihat semakin menjadi-jadi.

Kata beliau, sekiranya tidak dibendung dibimbangi akan mencetuskan suasana yang tidak harmoni dalam masyarakat.

“Walaupun berstatus judi berlesen, ia bukan bermaksud mereka bebas mempromosikan perkhidmatan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam,” ujarnya. –HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -