Microsoft labur RM4 bilion, jana 19,000 peluang kerja

Microsoft
- Advertisement -

SAYA berbesar hati mengumumkan pelaburan RM4 bilion oleh pihak Microsoft dengan pembukaan pusat data serantau pertamanya di Malaysia yang akan menjana lebih 19,000 peluang pekerjaan. Pelaburan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Microsoft Bersama Malaysia yang saya lancarkan tengah hari semalam di Putrajaya.

Inisiatif tersebut merupakan satu komitmen pihak Microsoft untuk membangunkan landskap ekonomi digital selari dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif MyDigital. Microsoft merupakan sebuah syarikat gergasi teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 1993.

- Advertisement -

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Microsoft Bersama Malaysia, pihak Microsoft juga akan melatih dan meningkatkan kemahiran 1 juta rakyat Malaysia menjelang akhir 2023. Ini sekali gus akan dapat merapatkan jurang digital dan memperkasakan rakyat Malaysia menerusi penggunaan teknologi.

Pada majlis tersebut, saya juga berkesempatan menyaksikan pelantikan Microsoft Malaysia sebagai Penyedia Perkhidmatan Awan (CSP) bagi Kerajaan Malaysia selari dengan rancangan Kerajaan untuk memindahkan 80 peratus daripada data kepada awan menjelang 2022.

Saya turut menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pelbagai kerjasama awam-swasta di antara Microsoft Malaysia bersama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Celcom Axiata Berhad dan Grab Malaysia. 

Kehadiran pelaburan gergasi teknologi seperti Microsoft ini merupakan satu tanda keyakinan terhadap ekonomi Malaysia dan inisiatif MyDigital yang dilancarkan pada Februari tahun ini. Saya yakin dan percaya dengan perancangan yang rapi, aspirasi MyDigital akan terus membuahkan hasil dan membawa Malaysia ke mercu kemajuan ekonomi digital yang mampan.

YAB TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Perdana Menteri Malaysia – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -