DAP serlahkan ketuanannya, Melayu tidak lupa

- Advertisement -

LANGKAH DAP mengumumkan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari akan kembali menjawat jawatan tersebut seandainya Pakatan Harapan memenangi PRU-15 negeri ini mengesahkan bahawa gabungan tersebut sebenarnya diketuai DAP. Kenyataan bahawa DAP mencengkam atau sebagai ‘Abang Besar’ serta penentu utama koalisi itu tidak perlu dinafikan lagi.

Hakikatnya, parti yang bersama atau bersetuju dengan DAP ketika ini lebih-lebih lagi PAN, hanyalah alat atau boneka kepada DAP. Mereka hanya diperkuda dan diprogramkan untuk mengikut setiap telunjuk DAP bagi mencapai matlamat Malaysian Malaysia parti itu. Malah, wajah Cauvinis dan gerak Evangelis DAP turut membawa agenda perkauman dan agama.

- Advertisement -

Dengan taring pernah ditunjukkan DAP sepanjang 22 bulan dalam Kerajaan Persekutuan hingga melelahkan pemimpin berpengalaman seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, semestinya ia telah menjadi pengajaran besar buat rakyat. Khususnya kaum Melayu beragama Islam yang merupakan majoriti penduduk Negeri Melaka Bersejarah ini.

Kini DAP kembali bersandiwara sepertimana biasa dilakukan mereka pada masa-masa lalu. Kononnya telah membuang perjuangan Cauvinis mereka tetapi menjadi parti untuk semua kaum. Tetapi hakikatnya di dalam barisan kepimpinan mereka sendiri hanya membawa imej dominasi perkauman yang nyata. Kita dipesan bahawa mukmin tidak akan dipatuk dua kali di lubang sama.

DAP boleh terus mewayangkan lakonan hebat mereka, tetapi hakikatnya rakyat sudah mengenal bahawa parti itu membawa perjuangan untuk kepentingan sempit dan agenda tidak berpaksi Perlembagaan Malaysia. Orang Melayu Islam dan sesiapa sahaja bersama DAP hanyalah menjadi tali barut untuk akhirnya memecah-belahkan perpaduan.

Tunjukkan di mana adanya usaha DAP yang mengukuhkan tonggak-tonggak utama negara jika bukan sebanyak mungkin dirobek mereka. Bukti nyata adalah pemerintahan DAP di Pulau Pinang yang menyaksikan bukan sahaja orang Melayu-Islam, hatta kaum lain penduduk miskin diberi layanan tidak seimbang, malah semakin terusir dengan dasar-dasar dilaksanakan.

Oleh itu Adly dan PAN sendiri hatta PKR jika mempunyai jiwa Islam dan semangat negarawan, maka penyatuan ummah yang diusaha perkasakan ketika ini wajar disambut. Tinggalkan DAP yang membentangkan fatamorgana dan kehancuran generasi masa depan dan mari kita adakan ‘new deal’ bersama Perikatan Nasional.

USTAZ AHMAD BILAL RAHUDDIN
Ketua Pemuda
Perikatan Nasional Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -