Covid-19: MAIK arah masjid mukim, surau, musalla ditutup

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan masjid mukim, surau dan musalla ditutup susulan peningkatan kes Covid-19 bermula 21 April ini.

- Advertisement -

Bagaimanapun Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, masjid negeri, bandar dan jajahan diberi kebenaran bersyarat.

Katanya, solat Jumaat, solat fardu dan solat tarawih masih boleh dilaksanakan di masjid bandar dengan menepati 50 peratus daripada kapasiti masjid serta mematuhi penjarakan sosial dua meter.

“Perkara itu mendapat ampun perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V bagi kebenaran solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat terawih di masjid.

“Masjid mukim, surau dan musolla di seluruh Negeri Kelantan bermula 21 April ditutup sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata lagi, sementara aktiviti-aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus al-Quran, iktikaf dan lain-lain turut tidak dibenarkan diadakan di masjid.

“Kita amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini, SOP ditetapkan hendaklah dipatuhi sepenuh oleh pihak pengurusan masjid.

“Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap kegagalan mematuhi ketetapan, SOP ini, bersama-sama kita istiqamah, yakin terhadap bantuan Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -