Bazar Ramadan: Pematuhan SOP belum memuaskan

KUALA TERENGGANU: Kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di beberapa bazar Ramadan di Terengganu belum mencapai tahap memuaskan, kata Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Beliau berkata pemantauan telah dijalankan di beberapa lokasi antaranya di Bazar Ramadan Batu Buruk kerana kehadiran pengunjung terlalu ramai terutama selepas 6.30 petang.

“Bagi memastikan pengunjung dan peniaga patuh SOP tersebut, anggota RELA dan kakitangan setiap PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) akan meneruskan pemantauan kerana kita seboleh mungkin tidak mahu ada lagi penutupan bazar Ramadan seperti mana yang berlaku baru-baru ini.

Advertisement

“Kita faham peniaga nak cari rezeki dan pengunjung ada keperluan untuk membeli juadah, jadi nasihat akan terus diberi dalam setiap pemantauan ini agar tidak berlaku lagi pelanggaran SOP,” katanya ketika diminta mengulas situasi terbaharu mengenai kadar pematuhan SOP bazar Ramadan di Terengganu ketika ini.

Jumaat lepas, Bazar Ramadan Tok Adis di Kuala Ibai di sini menjadi yang pertama diarah tutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu kerana terlalu banyak pelanggaran SOP berlaku di lokasi itu.

Notis penutupan dikeluarkan mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Namun Bazar Ramadan Tok Adis dibenarkan beroperasi semula lebih awal bermula petang semalam selepas penganjur berjanji akan memastikan pengunjung dan peniaga mematuhi SOP ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19.

Dr Alias berkata pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan PBT bukan bertujuan mencari kesalahan penganjur bazar Ramadan sebaliknya arahan penutupan yang dikeluarkan adalah jalan terakhir setelah banyak nasihat diberikan.

Sebanyak 69 lokasi bazar Ramadan dengan 4,326 petak niaga beroperasi di seluruh Terengganu pada Ramadan kali ini.

Daripada jumlah itu, 22 lokasi ialah di Kuala Terengganu, Kemaman (19), Besut (10), Setiu (enam), Dungun (lima), Marang (lima) dan Hulu Terengganu (dua). – BERNAMA