Adun rayu rakyat Kelantan patuh SOP reda Covid-19

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan dirayu mengadakan solat hajat di masjid atau kediaman masing-masing sebagai amalan taqarrub bagi memohon perlindungan dan membendung penularan wabak Covid-19.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Kota Bharu, Rohani Ibrahim berkata, orang ramai hendaklah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan pelbagai langkah yang disaran kerajaan.

Katanya, rakyat Kelantan perlu prihatin bagi membendung penularan pendemik wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan sekarang.

“Kelantan mencatat bilangan mendadak positif Covid-19 sehingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kembali.

“Kerajaan mengajak rakyat Kelantan sama-sama melaksanakan ikhtiar bagi mengadu kepada Allah dengan melaksanakan solat hajat di seluruh masjid dan rumah masing-masing,” katanya, di sini.

Baru-baru ini, Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mengajak rakyat Kelantan mengadakan solat hajat bagi memohon dikurangkan wabak Covid di negeri itu.

Rohani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Mas menyeru semua rakyat memohon dan merayu kepada Allah agar mengangkat musibah tersebut.

Selain itu katanya, sempena Ramadan yang penuh keberkatan dan rahmat sekarang, kita perlu ikhlaskan hati memohon perlindungan daripada Allah Taala.

“Rakyat Kelantan perlu terus berdoa dan berikhtiar serta mematuhi segala SOP yang digariskan dan diharap seluruh rakyat diberi kesihatan dan dilindungi daripada sebarang perkara keburukan,” ujarnya.

Kelantan mencatat kadar kebolehjangkitan (RT) harian tertinggi di negara ini iaitu 1.32 berbanding RT nasional 1.19, sehingga semalam.

Bgaimanapun jangkitan Covid-19 meningkat mendadak dalam negara sejak tiga minggu lalu dengan pertambahan kira-kira sebanyak 45 peratus.

Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Adham Baba sebelum ini berkata pada minggu ke-15, sebanyak 13,745 kes baharu direkodkan, berbanding 9,507 kes pada minggu ke-14. – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -