Ustazah Nuridah santuni asnaf di Kuala Kangsar

- Advertisement -

KUALA KANGSAR: Muslimat PAS Malaysia telah menghantar bantuan sumbangan kepada golongan asnaf pada program Semarak Kasih Ramadan di Kompleks PAS Kuala Kangsar, Bukit Chandan, di sini baru-baru ini

- Advertisement -

Program dengan kerjasama Muslim Care Malaysia (MCM) dan Pertubuhan Muslim Professional (IMProf) ini merupakan inisiatif membantu serta menggembirakan golongan kurang berkemampuan terutamanya di bulan ini.

Rombongan Muslimat PAS Malaysia ini dipimpin Ketua, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh diiringi Ahli-ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan, selain turut bersama, Ketua Muslimat PAS Kawasan Kuala Kangsar, Intan Norhanim Mohamad Basir.

Program yang menyampaikan set keperluan makanan, kurma dan duit raya itu dimulai dengan aktiviti Munajat AKIFI, solat hajat dan bacaan Yaasiin sebelum ziarah dan serahan dilakukan kepada penerima.

Ustazah Nuridah, dalam ucapannya menitipkan pesanan bahawa Allah datangkan bulan Ramadan khusus kepada umat untuk menjadikan mereka orang-orang yang bertakwa yakni paling mulia di sisi-Nya.

Dalam pada itu, hadirin dinasihatkan agar mengambil peluang kehadiran bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan baik dengan sebanyak yang mungkin.

“Mengambil peluang untuk melaksanakan ibadah di bulan Ramadan, jika kamu berbuat baik, sebenarnya kamu berbuat baik kepada diri kamu sendiri.

“Jika kamu berbuat jahat, sebenarnya kamu berbuat jahat pada diri kamu sendiri,” jelasnya di hadapan penerima sumbangan itu.

Beliau juga mengingatkan agar kemuliaan bulan Ramadan diisi dengan membaca Al-Quran dan zikir, kerana manusia memerlukan makanan jiwa yang mesti dilakukan kerana Allah, untuk menjadikan manusia sihat dan seimbang.

Skuad Prihatin mengalu-alukan orang ramai agar terus menyumbang menerusi akaun Maybank 5640 2540 0533 atas nama Parti Islam Se-Malaysia bagi program Semarak Kasih Ramadan (SKR) ini. – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -