Perlukan suntikan dos ketiga vaksin COVID-19?

APABILA Albert Bourla, CEO Syarikat Pfizer menyatakan mungkin kita perlu cucuk dos ketiga, semua semacam tak percaya. Adakah kita terpaksa cucuk lagi? Padahal belum cucuk pun lagi, dah bising (segelintir pihak itu).

Perkataan mungkin adalah sesuatu yang belum dipastikan. Mungkin ya, mungkin tidak. Terdapat kajian yang menyatakan vaksin Pfizer-BioNTech itu selepas dos pertama sudah pun mencapai 82 peratus keberkesanannya. Jadi di sini mungkin satu dos sahaja sudah mencukupi. Tidak perlu dah diulang pada masa akan datang. 

Advertisement

Inilah serba berkemungkinan yang boleh berlaku. Kenapa? Vaksin COVID-19 adalah sesuatu yang baharu. Ianya mula diberikan kepada masyarakat dunia bermula Disember 2020 (Selepas kajian klinikal lulus). Maknanya untuk kegunaan awam baharu masuk 5 bulan. Tidak dinafikan keberkesanannya di peringkat Antarabangsa telah pun terbukti seperti mana yang dilaporkan di US, UK dan Israel. Namun berapa lama antibodi dari vaksin COVID-19 seperti Comirnaty itu boleh bertahan dalam badan manusia?

Di sinilah sepatutnya asas perbincangan kita. Kajian ringkas dalam tempoh 5 bulan berlalu mendapati bahawa vaksin Comirnaty itu masih lagi bertahan sehingga 5 bulan. Berapa lama boleh bertahan? Kajian sedang dijalankan mengikut garis masa. Ada membuat jangkaan 8 bulan, ada juga menjangkakan 2 tahun.

Kita perlu faham bahawa sel antibodi yang terbentuk hasil dari vaksin mahupun jangkitan semulajadi akan berkurangan berkadar kepada masa. Contohnya vaksin Meninggokokal bagi jamaah Haji atau umrah berkurangan dalam tempoh 5 tahun. Apabila mencecah 2 tahun setiap jamaah Haji atau umrah yang nak pergi semula ke Tanah Suci diwajibkan cucuk lagi. Begitu juga vaksin Influenza yang diambil setiap tahun. Kami yang bertugas di kesihatan ini tiada masalah pun tiap-tiap tahun disuntik vaksin Influenza. Begitu juga dengan peniaga-peniaga gerai makanan, juga kena cucuk vaksin Thypoid. Pendek kata vaksin itu adalah tempoh masa keberkesanannya mengikut kajian-kajian yang telah dan akan dijalankan.

Cuba lihat pula anggaran dari Bloomberg ini: Malaysia akan mengambil masa 4.9 tahun bagi mencapai imuniti kelompok. Di mana Malaysia akan capai perlindungan dari COVID-19 dengan liputan vaksinasi >79 peratus dalam tempoh masa tersebut. Mungkin akibat dari kelembapan pendaftaran vaksin COVID-19 oleh rakyat Malaysia. Justeru pemberian vaksin akan tertunda dan masa akan diheret ke hampir 5 tahun.

Lihat negara jiran, Indonesia 3.3 tahun, manakala Singapura hanya 5 bulan. Begitu juga US 3 bulan dan UK 4 bulan. Oleh itu berdasarkan kemungkinan jangka hayat vaksin dalam vaksin mengikut anggaran 2 tahun atau kurang, mungkin vaksin COVID-19 untuk rakyat Malaysia akan diberikan secara tahunan sehingga 5 tahun berturut-turut. Itu adalah kemungkinan! Mungkin tidak. Semuanya kena dilihat berdasarkan pelaporan kajian dari masa ke semasa.

Kalau semua kita patuh dan ikut arahan kerajaan untuk dapatkan vaksin COVID-19, mungkin jangka wabak COVID-19 akan juga singkat. Semoga kita dapat keluar dari suasana pandemik ini dengan segera.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 19/4/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.