Nasihat untuk anak muda meniti cabaran kehidupan

KEPADA anak anak muda yang sedang menghadapi enigma dalam hidup, sedang meniti dilema zaman edan, saya nak berpesan:

Sebagai seorang yang pernah gagal pada masa muda, pernah merempat, pernah tercicir dalam pelajaran walaupun sebelumnya pernah dianggap cemerlang dan title itulah yang terlalu mempesonakan hingga saya lupa diri.

Pertama sekali, beranikanlah diri untuk membuat perubahan dalam arah tuju masa hadapan dan perubahan itu semestinya ke arah kebaikan. Hanya sedikit keberanian diperlukan dan hanya sedikit perubahan perlu dilakukan.

Advertisement

Di akhir usaha, keberanian yang sedikit untuk melakukan sedikit perubahan itu akhirnya akan membawa perubahan yang besar terhadap seluruh kehidupan anda. Saya berani untuk menyatakannya kerana ia adalah pengalaman diri saya sendiri.

Sebagai pelajar yang pernah dianggap cemerlang namun akhirnya saya gagal, saya telah melalui episod yang sangat gelap, umpama kura-kura yang sentiasa mahu menyorokkan kepala dalam topi keledarnya. Saya begitu pesimis terhadap kehidupan hingga malu untuk bertemu dengan rakan-rakan.

Akhirnya saya keluarkan juga kepala setelah berasa hidup di dalam topi keledar itu terlalu gelap, dan saya tidak mahu dunia saya gelap sampai bila-bila. Saya beranikan diri untuk sambung belajar sebagai Mahasitua. Memang pengorbanan diperlukan, bukan sahaja pada diri tetapi juga isteri dan anak anak.

Akhirnya, walaupun hari ini saya tidaklah seberjaya mana namun berbanding dengan kehidupan dilalui pada zaman Dark Ages dahulu, setidak-tidaknya saya bolehlah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain.

Bagi saya, cukuplah untuk dipanggil kejayaan bagi seorang yang dahulunya gagal masuk universiti kerana tidak cukup syarat kelayakan, akhirnya dapat masuk universiti tiap-tiap hari bukan lagi untuk belajar tetapi mengajar. Itulah detik paling manis yang saya lalui.

Silibus-silibus yang diikuti sepanjang pengajian di University of Life juga tidak kurang penting untuk memantapkan jati diri kita. Walau apa jua pun, harus diingat bahawa objektif atas daya usaha itu bukan untuk kesenangan duniawi semata-mata. Ia sangat penting untuk kita membawa diri dalam mengharung kehidupan sebagai hamba Allah yang dibekalkan dengan ilmu dan iman mengenai siapa diri kita dan bagaimana kita mahu berinteraksi dengan persekitaran.

Ia akan membantu dalam membentuk sudut pandang (weltanschauung) kita terhadap dunia dengan segala isinya, akan juga membantu bagaimana kita seharusnya bertingkah laku terhadap semua itu. Bekalan inilah yang mahu kita bawa ke hadapan Allah dan Rasul kelak. Dan jangan sekali kali lupa kepada mereka yang menyokong. Bersyukurlah kepada Allah, dan berterima kasihlah kepada mereka yang membantu, waima dengan hanya sepotong doa! 

Last but not least, penghargaan semestinya kepada mereka yang sentiasa meyakini anda, ibu dan ayah. Itulah punca segala keberkatan atas usaha buat yang telah kita lakukan. Ingat! Beranikan diri untuk buat sedikit perubahan – jangan ragu ragu – kerana perubahan yang sedikit itu, insya-Allah akhirnya kelak akan bawa perubahan yang besar terhadap seluruh hidup anda. Tabah dan sabar dalam pengorbanan akan jadi pengalaman indah untuk dikenang kemudian. Air mata akan jadi mutiara.

MUHAMAD MAT YAKIM – HARAKAHDAILY 19/4/2021