Menjengah derita keluarga ditinggalkan

- Advertisement -

SEBELUM zohor semalam PAS Kawasan Balik Pulau dan Muslimat PAS Kawasan Balik Pulau berkesempatan menziarahi dan menghulurkan bantuan makanan dan sedikit sumbangan kewangan kepada seorang ibu tunggal dan keluarganya di Kampung Pulau Betong.

Sedihnya mendengar luahan hatinya kerana ditinggalkan suami selepas 18 hari melahirkan anak kelimanya. Beliau menghadapi tekanan ketika itu sehinggakan tenggelam punca untuk berbuat apa-apa. Beliau yang merupakan suri rumah sepenuhnya hilang tiba-tiba punca pergantungan hidup. Kini anak-anaknya yang membantunya untuk menyara mereka enam beranak.

- Advertisement -

Anak-anaknya ada yang terpaksa berhenti bersekolah kerana nak membantu ibunya. Mujurlah katanya tuan rumah yang mereka duduki itu tidak mengambil sewa, kalau tidak, entahlah ke mana hendak dituju.

Masalah miskin tiba-tiba banyak berlaku dan permulaannya tidak diketahui oleh pihak berwajib. Saya pernah menziarahi mangsa kemiskinan dan pada ketika itu melihat seorang ibu tunggal menyuapkan botol susu yang berisi air teh o sahaja kerana tidak mampu hendak membeli susu. Air mata jatuh secara tiba-tiba dan tidak boleh dikawal lagi kerana melihat keadaan mereka. Begitu sekali mereka diuji oleh Allah.

Menjadi kewajipan kepada umat islam untuk sama-sama membantu mereka dan masyarakat Mustadafin yang ditimpa kesusahan.

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -