Lagi persepsi buruk ditimbulkan golongan antivaksin

- Advertisement -

TOLONG hentikan sebar print screen yang tak betul seperti ini. Tajuk sedemikian sengaja memberi persepsi buruk terhadap vaksin yang sebenarnya telah pun dijawab sejak daripada Januari lalu lagi. Isu itu berkaitan dengan kematian orang-orang tua selepas pemberian vaksin di Norway.

Bulan Januari dulu golongan antivaksin print screen tajuk dari web berbahasa Inggeris, sekarang ini ada pula ulasan dari pihak yang tidak bertanggungjawab menulis isu sama dalam Bahasa Melayu. Apa lagi! Antivaksin terus menjadikan tulisan itu sebagai kuda tunggangan mereka untuk terus memburukkan lagi vaksin. Sesungguhnya mereka hanya pandai baca tajuk tetapi tidak membaca isi sepenuhnya. Bahkan tidak memahami pun kandungan yang sebenar yang telah pun dikeluarkan oleh pihak yang berwajib itu. 

- Advertisement -

Di sini saya jelaskan semula isu kematian orang tua di Norway yang berlaku pada akhir tahun lepas.

Keputusan siasatan pakar melaporkan bahawa kematian yang berlaku adalah tidak disebabkan oleh vaksin Pfizer-BioNTech. Tetapi kematian itu adalah selari dengan jumlah kematian biasa dalam negara. Di Norway sendiri, sebanyak 400 kematian seminggu berlaku dalam tempoh sama. Sama ada mereka diberikan vaksin atau tidak, kematian tetap terjadi. Sesiapa sahaja boleh mati sementelah kerana faktor umur yang berusia lanjut.

Keadaan ini diberi nama ‘Temporal Relationship’- Kejadian mati itu terkait dengan waktu edah vaksin diberikan. Sedangkan ianya bukan penyebab terus dari vaksin. Dengan bahasa yang lebih mudah, ianya adalah satu kebetulan.

Pakar yang menjalankan kajian itu juga mengesyorkan pemberian vaksin seluruh dunia sekarang ini perlu diteruskan. Tiada alasan besar untuk diberhentikan program vaksinasi. Kejadian itu tidak perlu dibimbangkan. Apa yang penting dan perlu diingatkan adalah, manfaat dan kepentingan perlindungan yang akan diperolehi dari vaksin itu lebih utama.

Setiap kali sebaran dari antivaksin kena tabayyun betul-betul. Mereka selalunya membuat tohmahan dan memberi konklusi silap. Tiada pun rasa bersalah dalam menyebarkan berita yang tidak benar sehingga menakut-nakutkan rakyat.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 19/4/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -