Kementerian peruntuk RM1 juta untuk GPKS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia telah memperuntukkan sejumlah RM1 juta untuk Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS), kata timbalan menterinya, Datuk Awang Hashim.

Katanya, GPKS boleh dimanfaatkan oleh kesatuan-kesatuan yang berdaftar di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 untuk latihan dan pendidikan, pembelian komputer, pembangunan laman web, penubuhan koperasi dan penerbitan buku.

- Advertisement -

Beliau dijemput hadir bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja yang berlangsung di Purest Hotel Sungai Petani, petang semalam.

Menurutnya penyerahan GPKS itu telah bermula di peringkat Zon Tengah pada 5 April 2021 dan telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

“Pada 15 April lalu pula penyerahan GPKS Zon Selatan juga telah disempurnakan dengan jayanya,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata, sejumlah RM 108,999 pula diagihkan kepada kesatuan-kesatuan sekerja yang memohon dari negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, petang semalam.

Menurutnya, pemohon di negeri-negeri itu telah ditawarkan GPKS untuk kategori latihan dan pendidikan dan pembelian komputer. – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -