Jauhi persengketaan, kongsikan penjelasan

- Advertisement -

MENJAGA perpaduan itu terlebih utama untuk kita sebagai umat Islam. Apa guna bersengketa hingga meretakkan perpaduan sesama sendiri. Kalau persengketaan itu lahir kerana tersalah sangka, perbaiki sangkaan itu dengan bersemuka. Awali teguran dengan mendapatkan penjelasan dan tafsiran yang baik.

Sesama sendiri sewajarnya mengadakan majlis berterus terang dan saling memaafkan. Bukan pertengkaran yang membawa perpecahan. Ungkapkan isi hati di hadapan sahabat agar hati menjadi lega dan menutup semua jalan perpecahan. Bukan mencari alasan menjauhi atau berfikir untuk menuduh. Ia lebih mantap seandainya majlis seperti ini ditutup pula dengan senyuman. Kata pujangga:

- Advertisement -

قَدْ قَضَينَا لُبَانَةَ مِنْ عِتَابٍ
وَجَمِيْلٌ تَعَاتُبُ الأَكْفَاءَ
وَمَعَ الْعَتْبِ وَالْعِتَابِ فَإِنِّي
حَاضِرُ الصَّفْحِ وَاسِعُ الأَعْفَاءِ

“Kita semua sudah memenuhi keperluan untuk menegur atau mencela,
Dengan keindahan dan kemuliaan saling menegur sesama rakan;
Walaupun bersama celaan dan teguran ini, namun diriku,
Selalu dalam maaf dan luas dalam berlapang diri.”

Teguran sesama sahabat, mendatangkan keindahan dan kehormatan terhadap pihak yang ditegur. Tiada sikap mementingkan diri sendiri. Teguran dalam pertemuan seperti ini lebih meresap, lebih efektif dan lebih berhati-hati:

فَعُذْرُكَ مَبْسُوْطٌ لَدَيْنَا مُقَدَّمٌ
وَوُدُّكَ مَقْبُوْلٌ بِأَهْلٍ وَمَرْحَبٍ
وَلَسْتُ بِتَقْلِيْبِ اللِّسَانِ مُصَارِمََا
خَلِيْلِى إِذَا مَا الْقَلْبُ لَمْ يَتَقَلَّبُ

“Alasan kamu sudah pun terbentang kepada kami,
Kasih kamu disambut kami dengan sangat dialukan;
Aku menggerakkan lidahku bukanlah kerana mengetap marah,
Saudara, kalaulah aku tidak punya hati, pastinya ia tidak berbolak balik.”

Yang paling utama penjelasan yang saling dikongsikan. Jangan pula hati yang berbolak balik itu kerana didorong oleh hawa nafsu. Biarlah ia digerakkan kerana maslahah dakwah Islam.

Sayang terhadap kemanisan ukhuwah lebih utama berbanding dunia ini. Sayang jika dibiar berlarutan tanpa usaha untuk diharmoni. Rugi seandainya melayan provokasi entah dari siapa tanpa mencari jalan untuk diperbaiki. 

Ramadan Mubarak!

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
ADUN Tepoh
Ahli Jawatankuasa Majlis Syura Ulamak Parti Islam Se-Malaysia – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -