Jangan berkokok di laman orang

- Advertisement -

MOHD Sani Hamzan ADUN PAN Taman Templer dilaporkan berkata: ‘Ketika Kerajaan PN sering mencanangkan mereka mahu membela Islam di negara ini, video judi raya itu timbul dan tersebar pada Ramadan untuk mengajak penganutnya berjudi’ (Malaysiakini 17 April 2021, 1:57 petang).

Tambah beliau: ‘Sekarang ini negara kita diperintah oleh Kerajaan PN… Tiada parti DAP dalam kerajaan ini. Yang ada adalah PAS.’ Cukup cekap ADUN PAN ini menangguk di air keruh, mempolitikkan apa sahaja yang merayap atau menjalar di depan matanya.

Pertama bukan sahaja beliau malah ramai yang lain termasuk dari PAS telah membuat laporan Polis berkenaan video berkenaan yang kini dalam siasatan pihak berkuasa. Semua umat Islam menentang apa sahaja yang berkaitan dengan judi, ia haram.

- Advertisement -

Kedua, video ini bukannya disiarkan dalam mana-mana media arus perdana sebaliknya diupload melalui Youtube oleh pihak tertentu yang kini sedang disiasat. 

Mohd Sani pantas mahu mengaitkan penularan video ini dengan PAS, dalam erti kata lain mahu memaparkan seolah PAS bersekongkol dengan aktiviti haram dan bertentangan dengan Islam apatah lagi di bulan Ramadan. Sekali gus beliau juga cuba ‘mensucikan’ rakan karibnya DAP, kononnya DAP tiada dalam Kerajaan Persekutuan yang ada PAS.

Ingin saya tegaskan siapa sahaja ahli PAS yang redha dan restu pada aktiviti perjudian sesungguhnya telah melanggar Perlembagaan partinya sendiri yang meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan tertinggi.

Walaupun kini dalam kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun beberapa negeri-negeri, tiada pimpinan atau ahli PAS yang redha dan restu pada aktiviti perjudian. Dalam Kerajaan sekalipun PAS tidak akan berdiam diri malah lantang dan tegas menentangnya. 

Di Kelantan sejak Mohd Sani pernah jadi ahli PAS dulu pun PAS telah mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di negeri berkenaan dan kini juga di Terengganu. Di Kedah langkah-langkah ke arah itu sedang diusahakan.

Tetapi kita membicarakan judi ini dari perspektif sebagai seorang penganut Islam, bagaimana dengan Mohd Sani? Apa peranan beliau selaku ADUN PAN dalam Kerajaan PH? PH menguasai 3 buah negeri, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor yang Mohd Sani sendiri merupakan sebahagian dari anggota kerajaan negeri, bagaimana di negeri-negeri ini?

DAP ada dalam ketiga-tiga kerajaan negeri sudahkah PAN atau Mohd Sani sendiri membuka mulut mendesak judi diharamkan? Jangan berpekik sekadar mahu curi publisiti, ini bulan Ramadan, PAS akan menentang judi, PAN juga kena begitu. Jangan sekadar jaguh berkokok di laman orang tetapi di laman sendiri menikus seribu bahasa.

Seingat saya di Selangor, Speakernya dari DAP. Ketika seorang ADUN dari PAN berpakaian baju Melayu ke Sidang Dewan beliau ditegur oleh Speaker DAP itu, diam membisu seribu bahasa. Kalau baju Melayu pun tak boleh pertahan di depan DAP, jangan nak jolok dan cucuk orang lainlah.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -