Hendak tubuh parti ASWAJA pula?

- Advertisement -

SAYA terbaca satu kenyataan yang kononnya ada cadangan untuk ditubuhkan sebuah parti ASWAJA. Dengan maksud perlu ada sebuah parti yang memperjuangkan Asyairah Maturidiyyah di Malaysia. Ada sahabat personal message (pm) saya dan bertanya apa pandangan saya. Saya jawab tidak perlu atas beberapa sebab:

Sudah cukup dengan PAS sebagai Parti Islam yang memperjuangkan Islam dan komited dengan dasarnya sejak dahulu hingga sekarang. Sejak awal penubuhan PAS tidak pernah PAS menukar pegangannya selain fahaman Sunni Ahlu Sunnah wal Jamaah.

Jika pun ada individu dalam PAS yang mesra Syiah atau Wahabi, itu tidak bermakna menggambarkan pegangan PAS secara keseluruhannya. Sebagaimana dalam kelompok Ahlu Sunnah itu ada individu yang menyokong parti Sekular. Apakah itu menunjukkan kumpulan mereka ialah kumpulan Ahlu Sunnah Sekular? Jadi usaha menubuhkan sebuah parti hanya kerana mahu memperjuangan ASWAJA adalah satu tindakan yang tidak sepatutnya. 

- Advertisement -

Parti baru itu terpaksa bermula dari awal mencari sokongan umat. Kemudian mereka mesti menang sebagai kerajaan untuk merealisasikan cita-cita mereka. Jika tidak menang dan hanya sebagai parti pembangkang, maka adalah lebih baik mereka sebagai NGO yang memberikan sokongan kepada PAS untuk memperjuangkan hasrat mereka. 

Lagi pun tindakan memperbanyakkan Parti Islam hanya akan memecahkan kekuatan umat Islam. kalau pun kita ada 100 parti yang mendukung ASWAJA kita akan tetap lemah dan semakin lemah. Akhirnya kuasa Kuffar juga yang akan menguasai politik Malaysia dan mereka akan beransur-ansur memamah faham ASWAJA. Oleh itu alangkah baik kita kukuhkan PAS dan membawa agenda ASWAJA itu bersama PAS yang sudah pun berada dalam kerajaan. Jangan bertindak menghancurkan ikatan kesatuan ummah ini.

Sejarah awal PAS ditubuhkan dan diperjuangkan oleh para ulamak. Maka apa perlunya membawa lari ulamak dari gelanggang politik PAS? Apakah agenda ASWAJA itu hanya sebagai alasan semata, tapi agendanya ialah untuk melemahkan PAS dan mengalih sokongan umat kepada PAS? Agenda siapa? Zaman Sayyidina Umar pernah terdapat seorang lelaki yang sering menjadi imam. Namun setiap kali beliau menjadi imam beliau dengan sengaja akan membaca surah Abasa. 

Bila Umar mengetahuinya Umar berkata ingin benar aku memenggal lehernya. Para Sahabat bertanya mengapa? Sedangkan dia membaca ayat al-Quran. Lalu Umar berkata; aku tahu maksud dia. Iaitu dia mahu menghilangkan kemuliaan Rasulullah S.A.W pada mata para Sahabat. Kerana surah itu adalah surah teguran Allah terhadap Rasulullah S.A.W. 

Saya sering memberitahu mereka yang mengatakan mereka tidak dapat bersama dengan agenda perjuangan PAS disebabkan ada individu pimpinan PAS yang mesra Wahabi. Saya katakan kepada mereka mengapa kita yang tidak Wahabi ini tidak masuk beramai-ramai ke dalam PAS? Memanglah jika gelanggang politik ini ditinggalkan oleh para ulamak dan orang yang baik-baik maka gelanggang ini akan dipenuhi oleh orang lain. Saat itu kita tidak perlu lagi mengeluh dan merintih.

Kita hendaklah sentiasa berfikir bagaimana mahu satukan umat ini. Kita sudah ada PAS, kita sudah ada MN dan kita sudah ada PN. Apa perlunya lagi sebuah Parti Islam yang lain yang nantinya hanya akan menguntungkan PH. Berpolitik bukan hanya berfikir bagaimana untuk melakukan kebaikan, tetapi berpolitik juga termasuk bagaimana untuk menyekat kejahatan.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -