Gerak kerja pilihan raya diperluas di peringkat Dun

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Biarpun tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 masih lagi samar, namun gerak kerja pilihan raya perlu digembleng dari sekarang bagi mengelakkan pecutan saat-saat akhir.

Malah gerak kerja ke arah pilihan raya rancak di Kelantan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kursus berkaitan diadakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun).

Antaranya PAS Dun Gaal Pasir Puteh turut mengorak langkah awal menganjurkan kursus pilihan raya sebagai persiapan awal menghadapi bahang PRU15.

- Advertisement -

Kursus tersebut dikendalikan tenaga terlatih daripada Institut Latihan Pilihanraya PAS (ILPAS) dengan membentangkan modul berkaitan aqidah dan pemahaman aspek teknikal.

Adun Gaal Ustaz Mohd Rodzi Jaafar berkata, kursus pilihan raya dianjurkan bagi memberi kefahaman lebih jelas kepada petugas PAS bagi memastikan gerak kerja dilakukan secara tersusun.

Katanya biarpun ramai petugas mempunyai pengalaman bertugas pada PRU sebelum ini, namun ilmu bantu baharu penting untuk dihadam sepenuhnya setiap petugas.

“Cabaran PRU15 boleh dikatakan agak berbeza kerana kita berada dalam saf kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menguasai kerajaan persekutuan sekarang,” katanya ketika ditemui di sini.

Kursus pilihan raya yang dianjurkan Jentera Pilihanraya Dun (JPrD) Gaal tersebut dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Hampir 100 peserta termasuk petugas muslimat menghadiri kursus tersebut yang diadakan di Markas PAS Dun Gaal.

Penganjur memastikan penjarakan fizikal 1 meter, memakai pelitup muka, diimbas bacaan suhu dan menggunakan hand sanitizer.

Dun Gaal merupakan antara empat Dun yang terletak di kawasan parlimen Pasir Puteh. Kekuatan PAS dan Umno di Dun terbabit agak setara.

Misalnya pada PRU 2004 PAS menang hanya dengan majoriti 43 undi melalui Dr Nik Mazian Nik Mohamad mengatasi Tuan Mustaffa Tuan Mat. Begitu juga pada PRU 2008 PAS menang dengan majoriti 323 undi.

Baru-baru ini Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah turut menyifatkan PRU15 agak berbeza kerana PAS berada dalam kerajaan PN.

Bagaimanapun katanya cabaran tetap sama kerana menghadapi pembangkang dan Pakatan Harapan (PH). – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -