Asiah sebak dapat beraya di rumah baharu

- Advertisement -

KUALA NERUS: Sambutan Aidilfitri kali ini pasti lebih bermakna buat enam beranak selepas mereka menerima rumah baharu dalam Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS), baru-baru ini.

Asiah Jusoh, 45, dari Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir di sini mengakui sebak dan terharu kerana hasrat untuk beraya di kediaman baharu tercapai.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, rezeki bagi saya insya-Allah, inilah sebuah rumah yang ditunggu-tunggu walaupun tak sehebat rumah orang lain dan yang penting dapat saya duduki pada Ramadan tahun ini seterusnya pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Sekian lama saya nantikan kerana sebelum ni hanya dengan menyewa,” tambahnya lagi.

Dia berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPTS DUN Seberang Takir yang disempurnakan Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir.

Kata Asiah, pemberian itu juga menggembirakan empat lagi anak-anaknya dan suaminya, Sharim Ismail Mohd Zain yang hanya bekerja sebagai pembantu kedai.

“Selepas ini mereka dapat belajar dan berehat dengan lebih selesa berbanding sebelum ini, terima kasih kepada kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab berkata, objektif utama penyediaan kediaman baharu adalah memberi tempat tinggal yang selesa kepada asnaf fakir atau miskin sebagai salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di Seberang Takir.

“Kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan rumah sendiri kepada rakyat Terengganu di samping menepati syarat-syarat yang ditetap,” ujarnya selepas majlis penyerahan replika kunci rumah. – TRDI.my

- Advertisement -