RM65,000 untuk Ihya’ Ramadan DUN Selama

LARUT: Exco Kerajaan Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin menyerahkan sumbangan sebanyak RM65,000 sebagai mengimarahkan aktiviti Ramadan dalam kalangan penduduk DUN Selama.

Advertisement

Sumbangan tersebut akan diagihkan atas program Ihya’ Ramadan yang dilancarkan beliau melibatkan seluruh masjid dan surau serta pusat pendidikan Islam seperti maahad tahfiz dan pondok dalam DUN ini.

“Peruntukan yang besar ini sebagai tanda kesungguhan kita untuk menzahirkan syiar Islam di bulan yang mulia ini. Kita sanggup laburkan ribuan ringgit untuk mencari dunia, kenapa pula kita berkira-kira untuk meraih akhirat?” ujarnya mengajak memahami.

Sumbangan menerusi Pusat Khidmat DUN Selama itu telah diserahkan sendiri oleh beliau sempena pelancaran tersebut pada majlis ringkas di Masjid Daerah Selama, di sini baru-baru ini.

Beliau berharap usaha tersebut mendapat berkat dan rahmat Allah untuk bumi Selama di mana peringatnya juga bahawa menghidupkan Ramadan adalah sunnah Rasulullah S.A.W.

“Penghayatan Ramadan merupakan salah satu manifestasi tarbiyah yang diajar Rasulullah S.A.W. Ia adalah bulan diturunkan al-Quran yang menjadi panduan umat Islam pada hari ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/4/2021